Malaysia Dateline

PENDAPAT: Bila Parlimen ditutup, ‘parlimen rakyat’ yang ambil alih

1. Demokrasi berparlimen tergantung dan tidak beroperasi akibat perisytiharan darurat walaupun ada gesaan supaya Parlimen dibenarkan bersidang.

2. Maksudnya Parlimen bukan lagi tempat bersuara, membuat undang-undang dan melaksanakan semak dan imbang (check and balance).

3. Tetapi ini tidak bermakna demokrasi, kebebasan bersuara dan semak-imbang juga tersekat. Sebaliknya ia menjadi lebih subur dan meluas.

4. Cuma proses ini telah berpindah daripada Parlimen rasmi yang melibatkan 222 ahli (sekarang 220 kerana kematian) kepada parlimen rakyat – the people’s parliament – yang mempunyai jutaan ahli yang berbahas di media sosial.

5. Ini adalah fenomena global dan Malaysia adalah antara negara di mana rakyat jelatanya paling cergas menggunakan media sosial.

6. Hal ini diketuai dan disedari oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) apabila ia mengeluarkan kenyataan yang berbau amaran kepada pengguna media sosial agar berhati berbahas mengenai Darurat.

7. Malangnya ia sendiri menjadi bahan pendedahan oleh media sosial yang menjurus ke arah penglibatannya dalam perang saraf bagi pihak kerajaan (atau parti kerajaan) menggunakan akaun popular yang dibeli/diperoleh daripada orang ramai.

8. Dakwaan ini sedang disiasat oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Telekomunikasi dan Multimedia. Pastinya diasatan ini akan diperhatikan dengan penuh minat oleh penggiat media sosial yang berasa mereka telah digertak oleh SKMM.

9. Pengaruh media sosial ini boleh juga dilihat dalam kes kebocoran surat Unit Penyelarasan Pelaksanaan mengenai arahan Perdana Menteri, Muhyiddin Mohd Yassin, berkaitan pembinaan tiga buah dewan orang ramai di kawasan pilihan rayanya di Pagoh.

10. Pada mulanya Jabatan Perdana Menteri buat tak endah dengan penyebaran surat itu. Permohonan pengesahan pun tidak dilayan. Hatta salam pun tidak dijawab. Tapi setelah isu itu meledak di media sosial dengan berbagai-bagai sumpah seranah terhadap kerajaan barulah budak-budak media dan komunikasi JPM terhegeh-hegeh mengeluarkan penjelasan.

11. Kesimpulan, parlimen rakyat yang diperkasakan oleh Internet dan media sosial mungkin lebih berkesan dalam membentuk persepsi berbanding media arus perdana dalam masa Darurat ini. Malah jika Parlimen digantung terlalu lama, keyakinan terhadapnya juga akan dihakis oleh parlimen rakyat ini.