Malaysia Dateline

Pendapat: Politik Malaysia 2020 ketepikan nilai murni

Tahun 2020 akan melabuhkan tirainya dalam beberapa jam sahaja lagi.

Namun ia mungkin terus diingati sebagai tahun paling unik dalam sejarah politik Malaysia kerana persitiwa-peristiwa politik yang terjadi sepanjang tahun ini tidak pernah terjadi sebelumnya walaupun pada tahun 2018 juga mencatatkan sejarahnya yang tersendiri dengan tumbangnya gergasi politik BN yang memerintah negara sejak merdeka selama 62 tahun.

Tidak pernah sebuah parti – sebenarnya gabungan parti-parti – yang memenangi pilihan raya umum ditumbangkan menerusi tindakan wakil-wakil daripada parti pemerintah itu sendiri untuk digantikan oleh gabungan parti lain pula yang telah kalah dalam pilihan raya yang sama. Yang menang menjadi pembangkang dan yang kalah menjadi kerajaan. Ini keanehan politik yng terjadi dalam negara pada 2020.

Bermacam-macam andaian dan teori telah dikemukakan untuk menjelaskan kenapa Pakatan Harapan (PH), gabungan parti menang, tidak dapat mempertahankan kuasa. Ia boleh dibaca dalam kebanyakan penulisan atau kajian yang diusahakan selepas jatuhnya kerajaan PH itu.

Apa yang perlu dipersoalkan di sini ialah kenapa dan apa yang mendorong terjadinya fenomena ini? Apakah prinsip atau asas yang boleh menjelaskan kenapa tindakan seperti ini boleh terjadi.

Sejak sekian lama kita berdepan dengan masalah ketidakjujuran dalam hampir setiap bidang kehidupan. Hasilnya lahirlah amalan rasuah yang semakin berleluasa sehingga hampir kesemua bidang dalam ekonomi disaluti masalah ini.

Bidang politik juga tidak terkecuali, malah ramai politikus dikaitkan dengan rasuah dan ada juga yang sampai ke hari ini sedang menunggu perbicaraan di mahkamah. Bukan sahaja wujud rasuah dalam ertikata konvensional seperti yang kini sedang dibicarakan di mahkamah, tetapi wujud juga rasuah dalam bentuk bukan konvensional apabila para politikus bertindak “melompat” parti kerana harapan untuk mendapatkan faedah material selepas bertindak sedemikian. “Melompat politik” boleh dilihat sebagai tindakan untuk berada dalam kalangan mereka yang memegang kuasa kerajaan, ringkasnya kerana kuasa dan juga apa yang barangkali memberi faedah material dalam bentuk wang ringgit.

Kenapakah tindakan politik seperti ini terjadi? Ia kerana “keruntuhan nilai” dalam negara terutama dalam kalangan mereka yang berkuasa dan yang bercita-cita mahu berkuasa. Memang seseorang menyertai politik agar dia akan dapat menjadi pemimpin parti yang disertainya dan berharap nanti partinya akan berjaya sama ada secara bersendirian atau bersama parti-parti lain untuk membentuk kerajaan dan kekal berkuasa. Biasanya kita akan mendengar bagaimana parti-parti politik “berjuang” berdasarkan beberapa asas dan prinsip yang mereka dakwa sebagai pegangan mereka.

Namun “prinsip perjuangan” kadang-kadang hanyalah omong kosong, retorik yang dilaungkan bagi menarik perhatian rakyat. Pada masa sekarang sudah menjadi amat sukar untuk membezakan antara pejuang sebenar dengan mereka yang hanya “berjuang” untuk mengisi tembolok mereka. Cukup senang untuk menuturkan dan melaungkan kata-kata semangat dan “kata-kata perjuangan itu dan ini” tetapi amat sukar untuk memenuhi dan mengotakan apa yang telah dijanikan atau diperjuangkan. Mutakhir ini para politikus yang jujur dan benar sudah menjadi satu spesies yang hampir-hampir pupus.

Apakah yang dimaksudkan dengan keruntuhan nilai?

Keruntuhan nilai merujuk kepada hilangnya nilai-nilai murni sebagai amalan harian dalam masyarakat. Nilai-nilai seperti kejujuran, bercakap benar, menolak penipuan, beramanah antaranya. Nilai-nilai ini diketepikan malah yang berlawanan dengannya pula menjadi amalan seperti sentiasa berbohong, pecah amanah dan tidak jujur. Apaila keadaan ini berleluasa ia adalah gambaran kepada keruntuhan nilai secara jelas.

Dan jika para politikus menjadi kelompok yang ketara mengabaikan nilai-nilai ini maka kesannya dirasai oleh negara dan rakyat. Malah pelanggaran terhadap nilai-nilai ini secara berterusan pastinya membawa negara ke arah kehancuran juga. Sebagai pemimpin, ahli-ahli politiklah “barisan hadapan” yang sepatutnya memandu rakyat ke arah kehidupan murni berasaskan nilai-nilai murni yang sudah lama wujud di dalam budaya kita lebih-lebih lagi bagi masyarakat Islam sebagai golongan majoriti dalam negara kita ini.

Namun ini tidak terjadi. Kini secara berterusan pemimpin-pemimpin politik, walau bukan semuanya, selesa dengan amalan nilai-niali yang bercanggah dengan budaya mereka sendiri, terutama dalam kalangan yang Muslim. Apakah gejala ini turut mempunayi kaitan dengan kefahaman mereka tentang agama?

Bagi saya golongan asatizah tidak menyerlah di dalam membentuk masyarakat yang ideal dalam negara kita. Memang akan ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini tetapi hakikatnya walaupun begitu ramai asatizah berceramah, “berkuliah” dan sebagainya, mereka masih tidak memberi kesan secara umum terhadap masyarakat dalam konteks memperkukuh amalan murni.

Daripada kes pecah amanah kepada rasuah dan penyelewengan hampir kesemuanya dilakukan oleh mereka yang Muslim. Persoalannya apakah “ilmu” yang disampaikan mereka berjaya atau dapat merubah masyarakat Muslim ini?

Sekiranya ilmu yang disampaikan itu relevan dengan persekitaran dan zaman sudah tentu kesannya akan dirasai dan akan dilihat. Tetapi ini tidak berlaku. Huraian tentang persoalan asatizah dan masyarakat Muslim akan saya ulas di dalam penulisan lain nanti.

Justeru semakin meningkat kebobrokan politik yang diperhatikan di dalam tindak tanduk ahli-ahli politik sendiri terutama mereka yang berkuasa sudah cukup untuk menunjukkan ke arah mana politik negara sedang menuju.

Walaupun mengharapkan yang terbaik adalah hasrat setiap rakyat, tahun 2021 tidak menjanjikan apa-apa perubahan dari segi pegangan dan amalan nilai-nilai murni dalam kalangan mereka yang terlibat di dalam arena politik baik sebagai pemimpin atau ahli.
——
Penulis merupakan bekas Prof Madya di Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.