Saya setuju dengan penilaian Datuk Menteri Besar Johor bahawa “tahap produktiviti pekerja Johor adalah antara yang terendah, meskipun menjadi ekonomi ketiga terbesar di Malaysia.
Ini bermakna, selama ini ekonomi Johor amat bergantung kepada pekerja berkemahiran rendah, yang mana rata-ratanya menggajikan pekerja pada gaji yang rendah dan juga penggunaan pekerja asing tidak berkemahiran.”
Ini bererti kita perlu menuju ke arah mencipta pekerjaan berkemahiran tinggi, berproduktiviti tinggi dan bergaji tinggi (high skill, high productivity and high income). Namun, kita semua tahu untuk mencapai sasaran ini, ia merupakan satu cabaran yang amat besar.
Di sini saya memohon Datuk MB untuk memberi pencerahan kepada Dewan yang mulia ini. Berikut adalah tiga persoalan yang memerlukan penjelasan daripada Datuk Menteri Besar:
Pertama, bagaimana kerajaan Johor akan mencapai sasaran untuk menggandakan saiz KDNK menjelang tahun 2030, iaitu dalam tempoh 8 tahun dari sekarang?
Apakah dasar, langkah dan tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri demi mencapai sasaran tersebut?
Kedua, apakah dasar, langkah dan tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan pengagihan hasil ekonomi yang adil dan saksama supaya apabila sasaran dua kali ganda saiz KDNK sekarang tercapai pada tahun 2030 di samping bagaimana KDNK per kapita juga dapat dilipatgandakan?
Ada dua faktor yang perlu kita ingati. Walaupun memang hak rakyat Johor untuk memilih bekerja di Singapura, tetapi sebagai Kerajaan dan penggubal dasar, kita mesti cari jalan supaya mewujudkan suasana dan keadaan di mana rakyat minat bekerja di Johor.
Kita mesti ketengahkan pelaburan yang menjana pekerjaan tempatan terutamanya pekerjaan yang akan membayar sekurang-kurangnya dua pertiga gaji di Singapura.
Satu lagi faktor ialah bahawa kita harus pastikan pelaburan ke Johor akan memanfaatkan industri tempatan melalui “clustering effect” dan boleh membina sinergi dengan industri tempatan.
Adalah tugas dan tanggungjawab Kerajaan untuk mengelakkan persaingan di antara pelabur asing dan industri tempatan.
Ketiga, pengurusan ekonomi bukan sahaja terhad kepada penjanaan pertumbuhan. Ketahanan atau resilience dalam ekonomi dan keselamatan ekonomi juga sangat penting dan tidak boleh diabaikan.
Dunia sedang melalui empat cabaran yang serentak terhadap ketahanan atau keselamatan ekonomi, iaitu gangguan supply chain, perang di Ukraine dan ancaman geopolitik, pandemik Covid-19 dan pandemik lain yang bakal muncul, dan perubahan iklim.
Kerajaan Negeri perlu ada jawapan dan perancangan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang saya gariskan ini.
Baca juga AMANAH Johor sambut baik ‘khemah besar’ hadapi PRU15