Malaysia Dateline

Pendapatan kasar minima RM1,000 sebulan tiada slip gaji kini boleh beli rumah

Rakyat negara ini tidak kira kaya atau miskin mengimpikan sebuah rumah untuk keluarga mereka, kini mereka dalam kalangan nelayan, petani, peniaga kecil bisa memiliki kediaman masing-masing.

Impian mereka untuk memiliki kediaman sendiri bakal tercapai apabila kerajaan sedia membantu mempermudahkan pinjaman perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP).

Mereka dalam kalangan B40 dan M40 yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada slip gaji layak untuk membuat pembiayaan membeli rumah.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Johor baru-baru ini seperti dipetik Sinar Harian.

SJKP merupakan syarikat milik penuh Kementerian Kewangan dan sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk tujuan tersebut dalam Belanjawan 2022.

Mereka yang bekerja sebagai nelayan, petani, peniaga kecil, pemandu teksi dan lain-lain pekerjaan boleh memohon membeli rumah pertama berharga sehingga RM300,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 35 tahun atau usia peminjam 65 tahun.

Pendapatan kasar minima RM1,000 sebulan tiada slip gaji kini boleh beli rumah
Nelayan, petani, peniaga kecil, pemandu teksi dan lain-lain pekerjaan boleh memohon membeli rumah pertama berharga sehingga RM300,000

Berita gembira itu memberi sinar baharu dan kini gaji kecil dengan pendapatan purata kasar minima RM1,000 sebulan tanpa slip gaji, bukan lagi penghalang utama memiliki rumah impian.

Inisiatif sebegini amat diperlukan rakyat memandangkan isu ini sering menjadi rungutan pembeli kerana salah satu syarat memohon pinjaman perumahan di bank adalah mempunyai slip gaji.

Selain itu, ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) baru-baru ini, Perdana Menteri juga meminta Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah program perumahan rakyat (PPR) dan rumah mampu milik.

Kata Ismail Sabri, semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga Satu Rumah dapat direalisasikan.