Pendapatan Kelantan cukup untuk bayar gaji penjawat awam, kata MB

Pendapatan Kelantan cukup untuk bayar gaji penjawat awam, kata MB

Kerajaan Kelantan mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membayar gaji penjawat awam negeri, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Katanya gaji penjawat awam Kelantan dibayar menggunakan pendapatan yang diterima daripada hasil tanah dan kayu-kayan negeri yang melebihi RM300 juta.

“Kerajaan negeri memohon untuk mendapatkan pendahuluan kerajaan (persekutuan) (kerana) bimbang di akhir tahun kita tak memenuhi komitmen kita dalam perkara pemberian seperti kebajikan dan sebagainya dan ia (permohonan pendahuluan) mempunyai sandaran (jaminan).

“Contohnya (bayaran) premium tanah terhadap Institut Pendidikan Guru Pengkalan Chepa sebanyak RM113 juta, premium tanah terhadap Felda (RM1.4 juta), itu kerajaan persekutuan kena bayar (kepada Kelantan),” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim, hari ini.

Beliau menjawab dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji penjawat awam negeri dan menerima geran daripada kerajaan persekutuan untuk tujuan berkenaan.

Lim dilaporkan membuat kenyataan itu pada Isnin ketika mempertikaikan kemampuan kerajaan Kelantan dan beberapa negeri lain untuk mengambil alih projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada kerajaan pusat.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan Kelantan tidak bercadang mengambil alih projek ECRL sebaliknya hanya pernah menyatakan persetujuan untuk memberi kerjasama kepada kerajaan persekutuan dari segi pengambilan tanah.

“Tak timbul (isu) Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk usaha sendiri (projek ECRL), tak ada…,” katanya.-Bernama.