Malaysia Dateline

Pendapatan Noh Omar sebagai Pengerusi MISC dijangka lebih RM278,000

Bekas menteri, Tan Sri Noh Omar yang dilantik sebagai pengerusi anak syarikat Petronas, MISC Bhd berkuatkuasa hari ini dikatakan bakal menikmati pendapatan tahunan melebihi RM278,000.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang serta pernah berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dari 2008 hingga 2009 menggantikan Datuk Ab Halim Mohyiddin.

Noh, 62, pada April lalu dilantik sekali lagi sebagai Pengerusi Umno Selangor, menggantikan Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Pada 30 Jun 2018, Noh mengumumkan pelepasan jawatan yang disandangnya sejak 2013 ekoran kekalahan teruk Umno Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mengikut rekod dalam laporan tahunan MISC 2019, pendapatan tahunan Ab Halim termasuk elaun mesyuarat mencecah RM278,500.

Selain Ab Halim, tujuh lagi pengarah memperoleh pendapatan antara RM176,000 hingga RM204,000 dengan keseluruhannya berjumlah RM1.549 juta.

Susulan pelantikan Noh, Ab Halim, 74 akan kekal dalam Lembaga Pengarah sebagai pengarah bebas.

MISC yang juga syarikat penyelesaian dan perkhidmatan berkaitan tenaga adalah anak syarikat Petronas menerusi pegangan ekuiti berjumlah 57.56 peratus.