Malaysia Dateline

Pendapatan per kapita Malaysia meningkat jika peluang sama rata diberi kepada wanita

Pendapatan per kapita Malaysia boleh meningkat sebanyak 26.2 peratus dengan pendapatan tahunan purata sebanyak US$2,250 (RM9,400) jika semua halangan ekonomi untuk wanita dihapuskan di negara ini, menurut laporan Bank Dunia.

Pengarah negara Bank Dunia untuk Malaysia, Mara Warwick berkata laporan itu bertajuk “Breaking Barriers: Toward Better Economic Opportunities for Women in Malaysia” menganalisis peluang ekonomi untuk wanita di Malaysia dengan mengambil kira sejuah mana Malaysia telah mencapainya dan yang penting melihat apa yang boleh dilakukan oleh negara untuk memaksimumkan potensi ekonomi wanita.

“Mewujudkan peluang ekonomi untuk wanita adalah salah satu cara yang paling sesuai bagi Malaysia ketika ia berusaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan inklusif,” katanya pada majlis pelancaran laporan itu di sini hari ini.

Warwick berkata meningkatkan bilangan wanita yang mengambil bahagian dalam pasaran tenaga kerja dapat mengakses pekerjaan produktif bukan sahaja menjadi objektif pembangunan teras tetapi juga dapat membantu Malaysia untuk meneruskan pembangunan dan pertumbuhannya.

Kadar penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia, perkadaran wanita yang mengambil bahagian dalam kerja, kekal rendah berbanding negara-negara ASEAN walaupun meningkat daripada 46.4 peratus pada 2009 kepada 55.2 peratus tahun lepas.

Wanita merangkumi 39 peratus daripada jumlah tenaga kerja Malaysia dengan lelaki mewakili 61 peratus.

Laporan itu, yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah, mengenal pasti kekurangan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan warga emas yang boleh diakses dan mampu dimiliki sebagai salah satu kekangan utama yang menghalang wanita daripada mengakses pekerjaan yang produktif.

Laporan itu mencadangkan untuk memperluaskan ketersediaan, kualiti dan kemampuan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak dan warga emas dengan meningkatkan liputan penjagaan kanak-kanak dari 0-6 tahun hingga 0-17 tahun dan mengutamakan sumber pada kanak-kanak dan penjagaan warga emas untuk kumpulan B 40 terutama golongan miskin bandar.

Laporan itu juga mencadangkan untuk memperluas sokongan bagi ibu bapa selaras dengan norma undang-undang antarabangsa dengan mereformasi Akta Pekerjaan dan undang-undang serta peraturan lain, termasuk melarang pemecatan wanita hamil, memperuntukkan cuti bersalin bergaji selama 14 minggu dan memperkenalkan cuti paterniti bergaji atau cuti ibu bapa.