Malaysia Dateline

Pendapatan rendah, masalah kemiskinan punca ramai pilih kahwin bawah umur?

Perkahwinan bawah umur ini sudah menjadi kebiasaan dan tidak lagi asing dalam masyarakat kita. Tetapi ia adalah sesuatu yang masyarakat kita tidak boleh ambil mudah.

Hal ini kerana, perkahwinan bawah umur ini telah merompak peluang kanak-kanak untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka dan boleh mengakibatkan kesan jangka panjang yang serius terhadap kehidupan dan kesihatan mereka.

Secara umum, mengikut Akta Undang-Undang keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303], enakmen undang-undang menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi individu beragama Islam ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan tetapi enakmen bagi setiap negeri adalah berbeza dalam menetapkan had umur dengan kebenaran hakim syarie.

Bagi individu bukan Islam pula, had umur minimum perkahwinan bermula 18 tahun bagi lelaki dan 16 hingga 17 tahun bagi perempuan dengan kebenaran (lesen) yang diberikan oleh Ketua Menteri mengikut Seksyen 10 Undang-Undang Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) Akta 1976 [Akta 164].

Manakala bagi negeri Sarawak, mereka mengikut Undang-Undang adat mengikut etnik dan bagi negeri Sabah, mereka mengikut Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 iaitu tiada had umur minimum.

Tidak lupa juga akan masyarakat Orang Asli yang mengikuti Akta Orang Asli 1994 dan juga tiada perundangan ditetapkan. Mereka juga tidak mempunyai had umur minimum.

Menurut statistik daripada UNICEF Malaysia, seramai 1,856 kanak-kanak di bawah umur 18 tahun telah berkahwin pada tahun 2018.

Negeri yang mempunyai jumlah tertinggi kanak-kanak muslim yang berkahwin pada 2018 ialah Sabah iaitu seramai 334 kanak-kanak. Manakala Pahang mencatatkan jumlah tertinggi bagi kanak-kanak bukan Islam iaitu seramai 102 kanak-kanak.

90 peratus kanak-kanak yang berkahwin pada tahun 2018 adalah kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak perempuan lebih terkesan berbanding kanak-kanak lelaki. Hal ini kerana, kanak-kanak perempuan lebih mudah terdedah kepada keganasan rumah tangga dan juga menghadapi komplikasi semasa mengandung dan melahirkan anak.

Selain itu, kadar kematian bayi lebih tinggi bagi ibu remaja kerana mereka mudah mengalami perkembangan
emosi dan psikologi yang terganggu.

Ibu bapa kahwinkan anak di usia muda untuk meringankan beban sendiri

Persoalannya di sini, mengapa isu perkahwinan bawah umur semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia? Apakah faktor yang mendorong rakyat untuk menjadikan isu ini sebagai satu tradisi di negara ini?

Di dalam Pelan Strategi Kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur yang telah dibentangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun 2020, terdapat beberapa faktor yang
diketengahkan.

Salah satunya ialah pendapatan keluarga yang rendah dan masalah kemiskinan. Hal ini kerana ibu bapa tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk menampung perbelanjaan anak-anak dan mereka merasakan bahawa perkahwinan ini ialah satu cara untuk meringankan beban mereka dan membantu mereka dari segi kewangan.

Pada masa yang sama, stigma dan norma sosial terhadap perkahwinan bawah umur juga menjadi faktor terjadinya isu ini.

Ibu bapa mahu membendung dan batas menjaga anak anak mereka daripada terus melakukan masalah sosial seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, dadah dan sebagainya.

Oleh itu, ibu bapa berpendapat bahawa perkahwinan bawah umur ialah jalan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial dalam kalangan anak-anak mereka.

Konklusinya, pihak ibu bapa perlu mengambil tahu lebih mendalam tentang isu ini dan menitikberatkan faktor-faktor ini supaya isu perkahwinan bawah umur berkurang.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlulah melunaskan Pelan Strategi Kebangsaan ini supaya isu perkahwinan bawah umur menjadi tumpuan di mata masyarakat pada masa akan datang.


Artikel dari Hanan Sofia Roslee dan Nur Afiqah Najwa Juryraz

Penulis merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pemasaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka