Pendapatan terjejas akibat sungai tohor, 59 nelayan Batu Pahat mohon bantuan

Pendapatan terjejas akibat sungai tohor, 59 nelayan Batu Pahat mohon bantuan

Keadaan sungai tohor, nelayan terpaksa menunggu sehingga air pasang untuk turun ke sungai.

Seramai 59 orang nelayan dari Komuniti Nelayan Sungai Suloh, Batu Pahat dilaporkan terjejas ekoran keadaan dua sungai yang terletak di kawasan itu dipercayai cetek (tohor) sehingga menyebabkan beberapa perahu rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Pengerusinya, Nordin Ahmad menzahirkan rasa kecewa apabila aduan yang dibuat lebih enam bulan itu masih tiada tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab.

Malah katanya, keadaan sungai cetek itu sudah berlarutan sejak pemecahan penahan pasir pada 2005 dan didakwa semakin teruk sejak empat tahun yang lalu.

“Keadaan sungai tohor menyebabkan nelayan yang sepatutnya dapat turun ke laut terkandas disebabkan perahu-perahu mereka ini tersangkut di dasar sungai.

“Lebih menyedihkan ada dalam kalangan warga nelayan ini yang sudah berusia terpaksa menolak perahu mereka untuk sampai ke Jeti. Akibat dari masalah sungai ini, kesannya nelayan mengalami kerosakan terutama dibahagian enjin dan perahu.

“Perkara ini berlaku sejak dari pemecahan ‘Ban Pasir’ (penahan pasir) di Sungai Suloh Besar dan Sungai Suloh Pekan sekitar awal 2005 dan empat tahun kebelakangan ini ia menjadi semakin teruk sehingga menjejaskan sumber pendapatan para nelayan,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Tambah Nordin, pihak ketua Kampung Sungai Suloh beberapa kali menyuarakan aduan di peringkat Mesyuarat Tindakan Daerah, namun tiada tindakan susulan dari pihak berkuasa.

Malah jelasnya, Pengurus Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Pahat memaklumkan bahawa pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dikatakan tiada bajet untuk menggali pasir sungai yang akhirnya sepi tanpa tindakan sewajarnya.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak JPS tidak ada bajet untuk menggali pasir dan mendalamkan sungai tersebut. Dalam setahun, hanya satu sungai sahaja yang mereka boleh gali. Jadi tak kan tiada inisiatif lain untuk bantu kami?

“Saya harap pihak Adun Senggarang, Khairuddin Abdul Rahim dan pihak LKIM sendiri boleh bantu para nelayan di sini kerana ini sahaja punca pendapatan kami. Jika enjin rosak, nelayan terpaksa mengeluarkan kos baiki enjin walhal pendapatan tangkap ikan sahaja sudah berkurang,” ujarnya.

 

Gambar: