Pendedahan DOJ: Imej Malaysia terus merosot jika isu 1MDB tidak diselesaikan

Pendedahan DOJ: Imej Malaysia terus merosot jika isu 1MDB tidak diselesaikan

Imej Malaysia akan terus merosot sekiranya isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak diselesaikan oleh kerajaan di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan apa yang telah didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Shaharuddin BadaruddinImej Malaysia akan terus merosot sekiranya isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak diselesaikan oleh kerajaan di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan apa yang telah didedahkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Timbalan Naib Canselor Unisel, Prof  Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, dengan perkembangan terkini kenyataan dikeluarkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) Rabu lalu, menambah luaskan lagi persepsi rakyat negara ini dan dunia mengenai apa yang berlaku.

“Di Malaysia rakyat memahami isu 1MDB dengan baik adalah dikalangan golongan pertengahan ke atas. Mereka ini akan menjadi kumpulan pendesak untuk memastikan kerajaan BN menangani isu ini secara profesional dan tidak berselindung.

“Bagi masyarakat luar bandar mereka tahu mengenai isu ini yang dikaitkan dengan perdana menteri walaupun terdapat pandangan dan persepsi berbeza dikalangan mereka.

“Manakala bagi sebahagian rakyat pula jika apa yang didedahkan oleh DOJ ini ada kaitannya dengan perdana menteri, pastinya rakyat akan membuat pilihan pada pilihan raya akan datang.

“Dari segi politik pula, pihak kerajaan boleh lakukan apa sahaja untuk mengatakan isu 1MDB ini adalah dilakukan dikalangan pihak yang anti Malaysia dan berniat jahat untuk menjatuhkan perdana menteri negara ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan oleh Peguam Negara Amerika, Loretta E. Lynch, Penolong Peguam Negara Bahagian Jenayah, LeslieCaldwell,Pendakwa Amerika untuk Daerah Pusat Keefe, Ilene Decker dan Andrew Mc Cabe serta Ketua Jabatan Siasatan Hasil Dalam Negeri. Mr Webber yang merujuk ” Malaysian Official 1″ di dalam dokumen berkaitan yang difailkan jabatan itu.

Justeru kata Shaharuddin lagi, jika Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib dan kerajaan dibawah pemerintahan Umno-BN ini berterusan mengambil sikap berdiam diri atau tidak mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada pemimpin negara dan 1MDB, ia akan menjejaskan pelaburan negara di masa akan datang.

“Paling utama isu melibatkan 1MDB perlu diselesaikan dalam konteks Malaysia. Jabatan Peguam Negara sudahpun lakukan siasatan tetapi laporan siasatan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Oleh itu isu ini tidak akan selesai begitu sahaja kerana imej Malaysia di mata dunia semakin merosot dengan kenyataan DOJ itu.

“Bukan sahaja kita bercakap mengenai persepsi rakyat Malaysia, tetapi kita menceritakan soal persepsi peniaga, pedagangan dan jika ini yang berlaku di Malaysia ada potensi, pelabur kurang tertarik dengan negara ini lagi,” ujar Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (Ide) ini.

Ditanya keyakinan beliau siapakah yang dimaksudkan dengan “Malaysian Official No 1” itu?

Shaharuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata,” DOJ menyebutkan ‘Malaysian Official No1’ tanpa menyatakan nama sesiapa sudah tentulah ia merujuk kepada PM takanlah YDP Agong pula.” ujarnya.

Semalam bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media di Yayasan Perdana Putra juga memberikan keyakinan beliau bahawa “Malaysian Official No 1” yang dikatakan DOJ itu juga merujuk kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak selaku Perdana Menteri Malaysia.

Sebagai rekod pada Rabu lalu DOJ  dalam kenyataannya menyebut rumah mewah, jet peribadi dan karya seni adalah antara 17 aset yang dimohon untuk dirampas oleh DOJ dalam saman sivil difailkan di Los Angeles.

Saman sivil itu mempersoalkan bagaimana harta itu didakwa dibeli di Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan United Kingdom daripada dana 1MDB.
Dana itu didakwa digunakan untuk membeli estet mewah di AS, membayar perbelanjaan perjudian di kasino Las Vegas, memperoleh lebih USD200 juta dalam hasil seni, melabur dalam projek utama pembangunan hartanah di New York, dan membiayai produksi filem Hollywood.

Saman itu turut menamakan Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, Tan Kim Loong, serta pegawai kerajaan Abu Dhabi, Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny dalam dakwaan penyelewengan dana tersebut.

Dalam dokumen 136 halaman itu turut mendakwa sebanyak USD731 juta disalurkan dari 1MDB ke dalam akaun bank milik Malaysian Official 1. Namun, ia tidak menyatakan siapakah Malaysian Official 1 yang dimaksudkan itu.

Sebaliknya, ia hanya menyatakan Malaysian Official 1 sebagai pegawai berpangkat tinggi dalam Kerajaan Malaysia yang turut memegang jawatan yang berkuasa dengan 1MDB.

TAGS