Malaysia Dateline

Pendedahan Hamid Bador: Siasat dan tubuh RCI

Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador telah meledakkan bom jangka yang menggegarkan negara ekoran dakwaan isu rasuah untuk membeli Ahli Parlimen dan Adun yang menjadi katak-katak yang melompat.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, walaupun tidak menyebutkan nama, umum sedia maklum bahawa ianya diajukan kepada Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang begitu ketara mendedahkan pelan sogokan atau ‘scheme of things’.

Menurutnya, terdapat beberapa isu dari pendedahan yang dibuat Hamid iaitu melibatkan campur tangan Menteri di Kementerian DalamĀ  Negeri (KDN) bagi menentukan pelantikan pasukan polis dengan istilah ‘budak kita’.

“Audio yang ditularkan pula diperakui oleh Hamzah serta mengukuhkan lagi dakwaan Hamid Bador bahawa campur tangan politik menguasai pelantikan dalam hieraki pasukan polis.

“Kenyataan Hamid Bador mempertikaikan integriti ahli politik yang dituduh membeli ‘katak-katak’ mengesahkan wujudnya tawar-menawar untuk Ahli Parlimen dan Adun ‘lompat-katak’.

“Ini sekaligus membuktikan betapa rasuah politik yang diamalkan oleh kerajaan PN untuk kekal berkuasa sudah sampai ke tahap kronik,” tegas beliau melalui laman Facebooknya baru-baru ini.

Pada masa sama Mujahid berkata, pendedahan Hamid merupakan isyarat bagaimana rasuah politik menjadi kanser yang sukar dibendung.

Beliau juga menegaskan bahawa satu siasatan menyeluruh perlu digerakkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) serta menubuhkan Suruhanjaya Bebas DiRaja (RCI) bagi menyiasat dakwaan tersebut.

“Apabila KPN secara berani menzahirkan kepincangan besar yang dilakukan Menteri yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan awam, ini membuktikan kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang gagal dan PM harus dipertanggungjawabkan sepenuhnya dengan pendedahan ini,” katanya lagi.