Pendedahan ‘Kartel Dedak’ oleh Zaharuddin Muhammad

Raja Kamarul Bahrin ShahApabila isu ‘kartel dedak’ oleh Zaharuddin dikeluarkan, pada mulanya saya tidak berhasrat untuk komen, Tetapi setelah nama AMANAH  pula di kaitkan dalam isu ini saya terpaksa respon.

Berita lima individu pimpinan kanan Pas menjadi ‘Kartel Dedak’ yang didedahkan oleh Saudara Zaharudin Muhammad telah menarik perhatian banyak pihak hanya bukan nama kerana ianya datang dari menantu Haji Abdul Hadi Awang, tetapi juga kerana pendedahan mengejut itu dibuat di bulan Ramadan Al Mubarak.

Pada bulan yang mulia ini kita mesti cermat menjaga lidah mulut dan Zaharuddin mesti mempunyai sebab dan maklumat yang kukuh untuk membuat kenyataan tersebut. Saya tidak berhasrat mengulas tentang lima orang yang di kaitkan tersebut kerana menghormati akan bulan Ramadan yang mulia ini. Saya hanya ingin respon tuduhan Zaharuddin yang menyalahkan Amanah pula setelah pimpinan Pas meminta beliau memberi penjelalsan.

Apabila ada ahli-ahli Pasdahulu timbulkan isu ‘Pas’ terima duit Umno mereka di serang, di kritik dan di singkir dari Parti.  Di antara mereka yang lantang mengkritik golongan yang disingkirkan itu adalah Zaharuddin sendiri.

Kali ini menantu Presiden Pas sendiri pula membuat tuduhan dan pendedahan yang sama. Aneh situasi ini. Kalau dahulunya Nik Abduh bekas ketua Pemuda Pas, dan sekarang menantu Presiden Pas  pula membuat pengakuan yang sama, mesti ada kebenaran isu tersebut.

Soalnya, jika Zaharuddin telah mengetahui hal ini sejak dahulu, kenapa hanya sekarang mahu didedahkan?

Adakah kerana takut ahli Pas ramai lari dan mahu menunggu selepas pilihanraya umum ke 14 selesai baru mahu umumkan?

Mengapa cerita sebenar disembunyikan daripada pengetahuan ahli dan pendokong Pas selama ini?

Dahulu ahli Pas  dididik agar mengutip dana yang halal sahaja seperti di ceramah ceramah umum. Walaupun tidak begitu banyak dalam tin tin kutipan kerana hanya wang yang halal mempunyai kerberkatan untuk digunakan dalam perjuangan. Umno pula telah terpalit dalan skandal terbesar bertaraf antarabangsa iaitu 1MDB.

Dengan laporan berita yang begitu meluas mengenai kehilangan berbilion bilion ringgit wang negara kerana skandal 1MDB, tidakkah PAS ragu serta ingin tahu dari manakah sumber sebenar wang yang dikatakan diberi oleh Umno kepada Pas?

Selama ini bukankah PAS sangat menekankan isu halal haram dalam semua aspek hidup perjuangan tetapi mengapa begitu longgar pula apabila berkaitan dengan wang yang dikatakan disalurkan dari Umno pada masa itu?

Satu teori yang menjadi spekulasi orang ramai ialah adakah pendedahan Zaharuddin ini merupakan satu komplot dengan menjadikan lima nama yan didedahkan sebagai ‘kambing hitam’ supaya Pas kelihatan bersih selepas ini?

Ada juga pandangan mengatakan ini juga adalah peluang dan satu komplot dalaman PAS untuk menyingkir kepimpinan tertinggi tertentu Pas.

Apa juga percaturan politik dalaman Pas, agak mustahil hanya lima orang yang diberi bayangan nama mereka ini oleh Zaharuddin sahaja yang mengetahui atau terlibat dalam penerimaan wang dari Umno.

Di Terengganu, penerimaan RM 2.5 juta melalui dua cek Bank Islam dari UMNO kepada akaun yang dipegang oleh tiga orang ahli jawatankuasa Kanan PAS Negeri Terengganu telah menjadi pengetahuan dan bual mulut orang ramai.

Apa yang nyata, ahli dan pengikut pengikut Pas sengaja tidak diberitahu tentang penerimaan serta pengunaan wang yang diterima dari UMNO selama ini.

Jika dua negara bukan Islam iaitu Amerika Syarikat dan Singapura boleh mengembalikan beratus juta wang yang dicuri secara haram dari 1MDB kepada Malaysia, tidakkah pemimpin dan ahli ahli Pas ingin tahu sumber sebenarnya wang yang di beri oleh UMNO kepada Pas?

Zaharuddin jangan cuba mengalih pandangan dan tindakan beliau sendiri kepada Amanah atau sesiapa. Tindakan beliau menggunakan ringkasan nama dengan hanya abjad dan bukan nama penuh sebenar dalam pendedahan beliau telah mengundang kekeliruan dan fitnah yang tidak patut berlaku. Ia adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Apabila beliau di soal Pas, beliau cuba menyalahkan pihak lain pula atas perbuatan sendiri.

Apa juga kredibiliti Zaharuddin menjadi persoalan apabila Presiden PAS yang juga bapa mertua beliau menafikan memberi restu pendedahan tersebut.

Di bulan Ramadan yang mulia ini marilah kita banyak mendirikan ibadat dan bermuhasabah diri untuk kita dan anak cucu cicit kita selamat dunia dan akhirat.