Malaysia Dateline

Pendedahan rakaman audio konspirasi: Bukti lain yang lebih rasmi perlu ada

Mana-mana pihak penguatkuasa tiada masalah menggunakan sebarang kaedah intipan terhadap suspek untuk membantu siasatan tetapi bukti diperoleh perlu disokong bukti lain yang lebih rasmi dan relevan, kata pakar undang-undang, Profesor Datuk Salleh Buang.

Menurutnya yang pernah berkhidmat di Pejabat Ketua Peguam Negara, bukti tiada masalah digunakan jika rakaman intipan melalui telefon bimbit dilakukan dengan pengetahuan mahkamah.

Bagaimanapun, jelasnya, jika perbuatan intipan itu dibuat tanpa izin, secara jelas ia melanggar undang-undang privasi sekali gus menjadikan rakaman perbualan itu sebagai bukti jenayah diperolehi tidak rasmi (unofficialy obtained evidence).

Beliau berkata demikian mengulas kes pendedahan bukti audio oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang didakwa konspirasi jenayah tertinggi melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Salleh berpendapat jika bukti rakaman audio perbualan itu dalam proses siasatan pihak berkuasa, ia mungkin boleh membantu siasatan tetapi akan menjadi masalah jika hendak dibawa ke mahkamah.

“Peguam tertuduh akan mempersoalkan adakah tindakan intipan itu dengan izin mahkamah dan pastinya bermati-matian meminta mahkamah menggugurkannya kerana dianggap tidak relevan,” dipetik dari Sinar Harian.

Bekas Peguambela dan Peguamcara itu berpendapat kebolehterimaan bukti oleh mahkamah amat penting dengan nilai timbang bukti dikemukakan perlu memberatkan kepada kaedah penerimaan bukti secara rasmi.

“Bagaimanapun, terdapat pengecualian sekiranya siasatan menggunakan kaedah intipan tertentu berkaitan isu keselamatan negara.

“Dalam kes pendedahan SPRM, ia dianggap jenayah kolar putih biasa dengan kesemua tertuduh masih boleh diwakili peguam sewaktu dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, Salleh menyarankan agar agensi penguatkuasa seperti SPRM perlu mencari bukti diperolehi secara sah supaya maklumat pendakwaan dapat didedahkan di mahkamah tanpa masalah.

Mengulas lanjut tindakan SPRM mendedahkan rakaman audio mirip suara Najib dan Rosmah itu, beliau berpendapat bukti rakaman audio itu perlu dikemukakan kepada pihak polis untuk pengesahan terlebih dahulu.

“Sepatutnya SPRM perlu mengumumkan penemuan bukti baru untuk dikemukakan dalam kes pendakwaan skandal 1MDB membabitkan Najib tanpa perlu mendedahkannya,” jelasnya lagi.