Pendedahan Shukri bukti keluh kesah rakyat bukan fitnah

Faiz menjalankan tugas sebagai wakil rakyat dengan menyampaikan sumbangan kepada anak yatim.

Pendedahan yang telah dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull mengenai skandal melibatkan 1MDB serta SRC International membuktikan segala keluh-kesah rakyat sebelum ini bukan suatu fitnah.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil, selepas menyampaikan sumbangan kepada kariah Masjid Permatang Pasir, Permatang Pauh, semalam.

Menurut beliau, pendedahan ini turut menunjukkan skandal tersebut begitu kritikal kepada mereka yang terlibat kerana tindakan yang diambil sebelum ini terhadap Shukri dan pasukan siasatan hanyalah untuk menutup skandal tersebut.

“Sikap pentadbir lama BN yang menekan tugas penjawat awam menunjukkan pentadbiran kuku besi menjadi amalan walaupun siasatan dijalankan secara profesional bagi menegakkan undang-undang serta menyelamatkan kehilangan berbilion ringgit wang negara.

“Adalah diharapkan pasukan siasatan SPRM serta Polis dapat menjalankan siasatan secara profesional dan telus supaya sesiapa sahaja yang terbabit dapat didakwa di mahkamah dengan segera.

“Saya juga optimis, pendedahan yang dibuat oleh beliau berhubung skandal 1MDB bukan didorong oleh sifat balas dendam, sebaliknya mendedahkan sesuatu yang melibatkan kepentingan awam, ” ujarnya.

Faiz yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH turut berkata, siasatan skandal ini harus dijalankan secara menyeluruh.

Selain itu jelasnya, sesiapa sahaja yang terlibat perlu disiasat tanpa memberikan sedikit pun belas kasihan kerana impaknya amat besar setelah melibatkan beban tanggungan berbilion ringgit.

“Skandal yang memalukan negara ini merupakan penyeksaan kepada rakyat setelah ia melibatkan tekanan ekonomi membabitkan kenaikan harga barangan serta kemerosotan nilai wang.

“Dengan siasatan skandal berskala mega ini, ia mampu untuk memulihkan kembali ekonomi negara serta meletakkan semula nama baik negara ke landasan yang betul.

“Ekoran skandal ini juga saya dan Pemuda AMANAH telah pun membuat laporan Polis dan juga SPRM untuk beberapa kali termasuklah menyerahkan memorandum mendesak agar siasatan dijalankan segera, ” katanya.

Malah kata Faiz lagi, desakan juga dibuat sebelum ini supaya siasatan dijalankan terhadap isu kemasukan sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib, pembelian rantai berlian merah jambu bernilai RM120 juta dan sumbangan RM90 juta kepada Pas.

“Saya juga telah memfailkan saman berhubung bayaran USD3.5 bilion secara ‘fraud’ kepada syarikat palsu Aabar Investment PJS Ltd.

“Adalah diharapkan dengan pendedahan ini serta siasatan yang sedang dijalankan, kes ini akan dapat dibicarakan dengan adil dan mencapai kejayaan.

“Siasatan yang sedang dijalankan ini memperlihatkan betapa usaha yang dilakukan sebelum ini termasuklah demonstrasi demi demonstrasi mendesak tangkapan keatas MO1 dan Jho Low tidak sia-sia, ” tambah Faiz lagi.

Beliau juga berkata, hasil kepincangan yang didedahkan semasa PRU baru-baru ini telah menyedarkan rakyat sehingga dapat menumbangkan pemerintahan Najib, Umno dan BN dengan menjadikan mereka sebagai pembangkang buat julung-julung kalinya.