Pendekatan ‘Khemah Besar’ bukan dengan PN

Oleh FAZLI RADZI

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan pendekatan ‘Khemah Besar’ bukan dengan Perikatan Nasional (PN) yang menerajui kerajaan pada masa ini.

Menurutnya, DAP berpendirian bahawa isu kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak timbul kerana PN merupakan sebahagian daripada blok kerajaan hari ini.

“Konsep ‘khemah besar’ yang dipersetujui dalam Resolusi Port Dickson merujuk kepada kerjasama dalam blok pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menyeru PH membuka ruang kerjasama dengan PN.

“Kenyataan tersebut merupakan pandangan peribadi beliau (Salahuddin) dan ia tidak pernah diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan,” ujarnya.

Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, semua pihak dalam PH perlu menyedari bahawa adalah amat sukar kerjasama dengan PN dapat dijalin dengan latar belakang sejarah hitam yang pernah dilalui dengan parti-parti komponen dalam PN.

“Saya menyeru semua pimpinan dalam PH supaya membincangkan sebarang pandangan berkenaan kerjasama politik dengan pihak lain dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan bukannya melalui kenyataan terbuka untuk memastikan tidak ada kekeliruan di kalangan ahli dan penyokong kita.

“Segala keputusan mengenai hala tuju dan kerjasama di luar kerangka PH mesti diputuskan secara bersama oleh Majlis Presiden PH,” katanya lagi.

Semalam, Salahuddin yang juga Naib Presiden PH meminta pemimpin pembangkang berjiwa besar dengan memaafkan dan melupakan perkara lalu bagi merealisasikan ‘khemah besar’ sebagai persediaan menghadapi PRU-15.

Beliau menyarankan PH membuka pintu rundingan dan perbincangan, termasuk kepada Bersatu dan Pas bagi memastikan pembangkang ampuh dalam menghadapi Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, pembangkang harus duduk semeja selain berani buat satu keputusan besar dalam menghadapi BN.

Untuk rekod, PN dengan 50 ahli Parlimen, adalah rakan kongsi terbesar dalam pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan manakala BN yang terdiri daripada gabungan Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) hanya diwakili 42 kerusi.

Baca Khemah Besar: Memaafkan, melupakan perkara lalu penting untuk kesepaduan politik pembangkang

Baca Mawar tepis dakwaan sudah berkahwin, mengaku sedang dalam proses berkenalan