Pendekatan KPN tangani kritikan terhadap PM lemahkan pasukan polis

Piha polis akan jalankan siasatan terhadap ucapan Rafizi Ramli  ketika ceramahnya  pada malam sambutan ulang tahun Anwar Ibrahim di hadapan Penjara Sungai Buloh baru-baru ini,

 

Tan Sri Khalid Abu Bakar sewajarnya tahu bahawa tindakan dan sikap beliau boleh dilihat mengheret nama baik pasukan polis yang boleh dituduh melindungi pesalah di belakang 1MDB, kata Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Beliau berkata demikian ekoran pihak polis semalam, sedang menyiasat ucapannya di hadapan Penjara Sunga Buloh pada 10 Ogos lalu, ketika himpunan meraikan ulang tahun kelahiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke-68 tahun.

“Saya juga dimaklumkan bahawa kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya pada hari Khamis, 25 Ogos 2016 ini.

“Tindakan-tindakan yang dilihat kasar terhadap kritikan mengenai 1MDB dan Datuk Seri Najib Razak ini tidak membantu imej pasukan polis.

“Sedangkan sebahagian besar anggota polis sendiri marah dengan skandal 1MDB. Jika ini berterusan, ia boleh melemahkan semangat (“morale”) pasukan polis,” ujanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, berkata, jika sikap Ketua Polis Negara berterusan, pihaknya tidak teragak untuk membuat laporan polis terhadap beliau.

“Jika kenyataan dan sikap Tan Sri Khalid Abu Bakar berterusan begini, saya sedang berbincang dengan peguam-peguam saya untuk membuat laporan polis terhadap beliau sendiri di atas kegagalan beliau mengambil tindakan terhadap laporan-laporan polis yang dibuat terhadap Jho Low dan individu lain yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Dalam suasana kemarahan rakyat terhadap Datuk Seri Mohd Najib masih memuncak ekoran pelbagai pendedahan skandal penyelewengan wang rakyat yang dikaitkan dengan 1MDB,

“Apatah lagi apabila tindakan tegas yang sama tidak diambil ke atas pelbagai laporan polis yang telah dibuat selama bertahun-tahun terhadap individu-individu utama di belakang 1MDB.

“Alasan yang diberikan oleh Tan Sri Khalid sebelum ini ialah untuk menunggu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Negara memuktamadkan terlebih dahulu siasatan terhadap 1MDB.

“Setelah kedua-dua siasatan ini selesai, alasan terbaru beliau pula ialah pihak polis hanya akan mengambil tindakan berdasarkan siasatan Ketua Audit Negara.

“Ketua Polis Negara sebenarnya lupa bahawa saya sendiri telah membuat dua laporan polis terhadap individu utama di belakang 1MDB selepas siasatan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB diketahui umum.

“Maknanya kedua-dua laporan polis yang saya buat mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh Ketua Polis Negara iaitu tindakan-tindakan yang boleh diambil berikutan penemuan hasil dari siasatan Ketua Audit Negara,” ujarnya.

Beliau turut menyenaraikan dua laporan polis yang pernah dibuatnya sebelum ini iaitu:

1. Pada 30 Mac 2016, beliau telah membuat satu laporan polis terhadap Arulkanda Kandasamy dan pengurusan 1MDB yang lain setelah satu mukasurat laporan Ketua Audit Negara yang bocor telah mendapati bahawa pengurusan 1MDB membuat pembayaran sebanyak RM288 juta tanpa dimaklumkan terlebih dahulu kepada Lembaga Pengarah 1MDB.

2. Pada 18 April 2016, beliau telah membuat satu laporan polis terhadap Jho Low ekoran dari laporan Jawatankuasa Kira-kira Negara di mukasurat 8 hingga 14 yang secara jelas memperincikan pelbagai pelanggaran undang-undang yang boleh disiasat di bawah Akta Syarikat, Akta SPRM, Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang melibatkan Jho Low. Selain beliau laporan yang sama juga dibuat di seluruh negara oleh rakyat biasa.

Namun terang Rafizi lagi, sehingga kini kedua-dua mereka masih belum ditahan dan ujarnya lagi, tidak mendapat apa-apa maklumat dari Khalid mengenai tindakan yang telah diambil ekoran dari laporan polis yang dibuat olehnya dan mendapat liputan meluas di kalangan rakyat.

“Oleh sebab itulah, apabila pihak polis terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap individu dan kumpulan yang mengkritik Datuk Seri Najib berhubung skandal 1MDB tetapi tindakan yang sama tegas tidak diambil terhadap watak-watak di belakang 1MDB, ia sudah tentu menjejaskan imej pasukan polis di mata rakyat.

“Malah penahanan siswa hujung minggu lalu berkemungkinan menimbulkan kemarahan dan kebencian rakyat terhadap pasukan polis.

“Saya yakin pegawai-pegawai yang terbabit hanya menjalankan tugas kerana diarahkan. Saya tahu ramai di kalangan anggota polis yang mempunyai pandangan yang sama dengan rakyat terbanyak mengenai skandal 1MDB: mereka marah dan merasa jijik dengan penyalahgunaan wang rakyat yang sedemikian rupa sedangkan mereka (anggota polis) turut mengalami kesusahan seperti rakyat biasa,” ujarnya.

TAGS