Malaysia Dateline

Pendekatan ‘Strategic Silence’ Mohamad Sabu dalam isu Malaysia-Singapura

Malaysia bukanlah sebuah kuasa besar yang harus digeruni, namun Singapura seperti telah terperangkap dalam ketakutan mereka sendiri atau lebih tepat disebut sebagai ‘garrison state’, iaitu satu tanggapan bahawa negara mereka boleh diranapkan atau ditakluki oleh negara-negara lain dalam sekelip mata.

Tanggapan ini sebenarnya wujud ekoran saiz Singapura yang kecil,setakat ini, masih belum boleh menangani kesemua isu-isu sekuritinya. Misalnya Singapura tidak ada takungan air semula jadi. Ia juga mengimport lebih kurang 98 peratus sumber pemakanannya. Di atas sebab-sebab ini sahaja, Singapura telah menjadi sebuah negara yang sentiasa dibelenggu oleh sejenis ketakutan yang terlalu sensitif serta fobia terhadap negara-negara jirannya.

Mohamad Sabu, sebagai Menteri Pertahanan, amat peka dengan arus pemikiran Singapura ini sejak keluarnya Singapura dari Malaysia pada tahun 1965, biarpun kemerdekaan negara itu dicapai dengan aman sehinggalah sekarang. Walaupun Malaysia telah menjalani proses ‘pendemokrasian’ pada 9 Mei 2018 lalu, Singapura masih terperangkap dalam pemikiran bahawa Malaysia, malah Indonesia akan selalu menjadi ancaman fisikal kepada mereka.

Memandangkan corak pemikiran Singapura, yang terlalu sensitif ini, maka Kementerian Pertahanan harus menangani segala perselisihan faham dengan Singapura secara cermat dan berprinsip.

Sejak awal bulan ini, percanggahan antara Malaysia dan Singapura membabitkan sempadan ruang udara dan maritim telah mencetus perang mulut antara pemimpin kedua-dua negara.

Apabila menyentuh soal ruang udara dan kawasan sempadan perairan, ramai beranggapan isu ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pertahanan juga, apatah lagi tular di media sosial beberapa rakaman video menunjukkan sebuah helikopter dan pesawat tanpa pemandu dari negara jiran itu yang didakwa telah menceroboh ruang udara Malaysia.

Dakwaan itu bagaimanapun telah disangkal oleh Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong yang menjelaskan bahawa Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah mengesahkan dakwaan tersebut tidak benar.

Di pihak kerajaan sebenarnya telahpun memutuskan agar isu ini ditangani di peringkat Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan Malaysia dan tiada keperluan untuk Kementerian Pertahanan terlibat di peringkat ini setakat ini.

Mohamad ketika ditanya pada sidang media di konvensyen partinya di Ipoh minggu lalu juga menjelaskan perkara sama.

“Isu ini ditangani oleh Kementerian Luar. Diserahkan kepada mereka untuk membuat sebarang urusan,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini juga telah beberapa kali menyatakan pendirian bahawa Malaysia akan menyelesaikan isu ini secara rundingan diplomatik dan melalui peruntukan undang-undang dan hak negara. Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan mempertahankan kedaulatan negara dan hak-haknya dalam isu ini.

“Kita akan selesaikan pertikaian ini berdasarkan peruntukan undang-undang dan hak kita,” katanya.

Isu pertikaian sempadan Malaysia-Singapura sudah wujud sejak peta Malaysia 1979 yang Singapura tidak pernah menerimanya. Malah kedua-dua pihak tidak pernah memutuskan soal sempadan ini secara tuntas sehingga kini. Beberapa kali Malaysia mengajak Singapura untuk membuka proses perundingan tetapi ianya ditolak.

Berbalik kepada pendekatan ‘senyap’ oleh Mohamad dalam isu ini, ia bukan sahaja wajar malah agak strategik juga. Menteri Pertahanan tentunya faham bahawa untuk menyelesaikan isu ini harus dibuat secara mikro politik.

Jika kita semua masih ingat, pada Jun 2018 iaitu sejurus dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad berkunjung ke Singapura bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-17. Pada kunjungan itu, beliau telah bertemu Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong membincangkan kerjasama kedua-dua negara termasuk dalam aspek pertahanan.

Kemudian, pada Oktober 2018, Mohamad sekali lagi ke negara republik itu bagi menghadiri Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus. Pada mesyuarat ini, beberapa persetujuan dicapai termasuk cadangan Malaysia untuk mewujudkan gabungan pasukan tentera bersama serta inisiatif-inisiatif strategik pertahanan yang lain termasuk ‘Guidelines For Air Military Encounters’ yang berperanan sebagai panduan kepada pesawat tentera apabila berlaku pertembungan di udara.

Kunjungan ke atas rakan sejawat beliau Dr Ng Eng Hen di Kementerian Pertahanan Singapura juga menjelaskan betapa hubungan serta kerjasama pertahanan kedua-dua negara adalah sangat baik.

Memahami situasi ini, Mohamad telah bertindak bijak agar isu pertikaian Malaysia- Singapura ini diselesaikan secara diplomasi antara kerajaan dengan kerajaan tanpa perlu menggugat kerjasama dalam aspek lain antara kedua-duanya yang telah wujud sejak sekian lama.

Dalam menangani isu dua negara sebegini, kematangan sangat diperlukan dan bukan bertindak secara tergopoh gapah. Konsep atau pendekatan yang digunakan oleh Mohamad ini lebih sesuai digelar sebagai Strategic Silence iaitu biarpun diam, namun sedang memerhati isu ini secara dekat dan sentiasa dalam keadaan bersedia untuk bertindak bila tiba masanya yang sesuai.

*Penulis adalah bekas wartawan politik yang pernah berkhidmat dengan beberapa media cetak dan atas talian dan tulisan ini adalah pandangan peribadi beliau.