Pendekatan strategik baru Pas, ramaikan kawan, elak musuh tak sebulu – Abdul Hadi

Pendekatan strategik baru Pas, ramaikan kawan, elak musuh tak sebulu – Abdul Hadi

Pas mengambil pendekatan mencari sebanyak mungkin rakan dalam politik yang sependapat dengan parti itu dan cuba mengelak daripada bermusuhan dengan pihak yang tidak sebulu dengan mereka.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata dalam membawa pendekatan itu, antara yang telah dilakukan adalah mengadakan rundingan dengan kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional berhubung Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), cadangan pindaan 2016 yang dibentangkannya sebagai usul Rang Undang-undang Ahli Persendirian di Dewan Rakyat pada 26 Mei lepas.

“Kita mengambil langkah kerajaan dengan kerajaan. Kerajaan Kelantan mengambil langkah berunding dengan kerajaan (Persekutuan).

“Kalau hal lebuh raya jambatan dan pelabuhan Pulau Pinang boleh berunding, takkan hal agama tak boleh berunding,” katanya.

Beliau berkata selain itu, Pas juga perlu bersikap lebih terbuka dan memaafkan kesalahan pihak lain selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam yang diperjuangkan parti berkenaan.

“Kita perlu ambil pendekatan yang strategik dengan meramaikan kawan sebanyak mungkin, bukan meramaikan musuh sebanyak-banyaknya.

“Atas konsep inilah kita mendekatkan diri dengan parti-parti politik yang mempunyai titik persamaan sebanyak-banyaknya dan memaafkan perbezaan yang boleh dimaafkan,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-62 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-62 yang bermula semalam berakhir hari ini selepas berlangsung dalam suasana tenang di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, Pengkalan Chepa di sini.

Muktamar itu sebelum ini didahului dengan muktamar sayap-sayap parti itu iaitu Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat pada Selasa dan Rabu.

Seperti dijangka, muktamar ini kali ini menjadi medan perbincangan oleh semua perwakilan parti itu berkaitan usul Rang Undang-Undang Persendirian itu yang dibawa Abdul Hadi.

Rata-rata anggota perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan ucapan dasar presiden pada muktamar itu menyatakan sokongan terhadap usul itu, selain turut menyifatkannya sebagai kejayaan perjuangan PAS.

Selain isu tersebut, PAS turut mengambil peluang pada muktamar kali ini memperkenalkan orientasi baharu dalam memainkan peranan sebagai pembangkang menerusi Budaya Politik Matang dan Sederhana (BPMS).

Menerusi BPMS, parti itu mahu menjauhi penampilan retorik tanpa membawa pelan penyelesaian dan menghukum tanpa fakta yang sahih sehingga bertentangan dengan hati budi psikologi masyarakat Malaysia.

Sementara itu, pada muktamar kali ini sebanyak lima usul diluluskan dengan satu usul ditangguhkan. Antara usul itu ialah berkaitan pemerkasaan parti, pendidikan, memperkasa mahkamah syariah serta pendidikan dan ekonomi anak muda.

Kedah akan menjadi tuan rumah untuk muktamar parti itu pada tahun hadapan.

TAGS