Pendengaran awam tidak perlu kerana telah dibuat sebelum pelan digezetkan

Pendengaran awam tidak perlu kerana telah dibuat sebelum pelan digezetkan
Apa yang saya ingin sampaikan adalah perbezaan prosedur di antara keadaan apabila adanya pelan yang telah digezet dan keadaan semasa tiada pelan yang digezet, kata Khalid.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menjelaskan, pendengaran awam untuk pembangunan di Kuala Lumpur selepas 2020 tidak diperlukan jika ia mematuhi pelan KL 2020-2040 yang akan digezetkan.

Ini kerana, sebelum pelan itu digezetkan, sessi pendengaran awam telah dibuat, kata Khalid menjelaskan kekeliruan yang dilaporkan oleh Bernama hari ini.

“Apa yang saya ingin sampaikan adalah perbezaan prosedur di antara keadaan apabila adanya pelan yang telah digezet dan keadaan semasa tiada pelan yang digezet,” katanya.

Menurut beliau, DBKL sedang dalam proses untuk menyiapkan Pelan Kuala Lumpur 2020 -2040.

“Mulai sekarang hingga penghujung 2020, sessi-sessi pendengaran awam sedang dan akan dibuat untuk menyiapkan pelan ini.

“Apabila selesai pendengaran awam, pelan KL 2020-2040 dijangka akan digezetkan pada penghujung 2020 nanti.

“Ketika itu apa-apa pembangunan yang hendak dibuat di Kuala Lumpur, yang bertepatan dengan pelan itu, tidak perlu lagi sessi pendengaran awam dibuat.

“Ini kerana, pendengaran awam telah dibuat sebelum pelan itu digezetkan,” kata Khalid.

Namun begitu, katanya, pendengaran awam perlu dibuat jika pembangunan yang hendak dibuat itu bertentangan dengan pelan yang telah digezetkan itu.

Semasa pendengaran awam ini, katanya, TIA (Traffic Impact Assesment) dan SIA (Social Impact Assessment) wajib dibentangkan kerana ingin mengubah apa yang telah digezetkan.

Oleh itu kata Khalid, berita yang diterbitkan oleh Bernama bertajuk “Pelan pembangunan KL tidak perlukan sesi pendengaran awam” sangat mengelirukan dan tersasar dari apa yang beliau maksudkan dalam sidang media petang semalam.

PELAN KL 2020

Sementara itu, Khalid menjelaskan, untuk kes Pelan KL 2020 yang telah digezetkan pada Oktober 2018, ia adalah kes yang berbeza kerana pendengaran awam telah diadakan pada 2012 tetapi ianya tidak digezetkan selepas itu.

“Maka dalam keadaan tiada pelan yang digezetkan, Rule 5 atau Kaedah 5, digunapakai untuk pembangunan yang diinginkan,” katanya.

Ini kerana, perubahan pelan telah dibuat dari apa yang telah dipamerkan pada 2012 berdasarkan pendengaran awam mengikut Rule 5 ini.

Katanya, mengikut Rule 5, TIA dan SIA tidak perlu dibentangkan semasa pendengaran awam.

“Pembangunan yang dibuat tanpa adanya pelan digezetkan perlu mematuhi Rule 5, tetapi selepas digezetkan Rule 5 tidak digunapakai lagi,” katanya.

Jelas beliau, mekanisma dengan adanya pelan yang digezetkan adalah berbeza seperti yang diperjelaskan di atas.