Malaysia Dateline

Lembaga Tabung Haji TH akan memperuntukkan jumlah subsidi yang lebih tinggi untuk musim haji tahun hadapan

Pendeposit diminta kemaskini maklumat TH

Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati pendeposit mengemaskini profil peribadi bagi mengelakkan tidak menerima surat tawaran haji berikutan bertukar alamat.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, berkata ketika ini jumlah pendeposit TH ialah seramai 9.3 juta orang, namun hanya 2.9 juta pendeposit membuat pengemaskinian profil peribadi.

“Saya berharap pendeposit TH mengambil perhatian dan tindakan susulan bagi memastikan kelancaran penyaluran sebarang maklumat penting daripada kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pendeposit boleh mengemaskini maklumat berkaitan seperti alamat, nombor telefon dan melakukan penamaan waris di mana-mana Pejabat Cawangan TH, Pusat Perkhidmatan TH dan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Mereka juga boleh perkara sama di kaunter Rakan Strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik, di seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut, pendeposit boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03-6207 1919.

TH juga mengesan lebih 41,000 akaun pendeposit yang tidak aktif tanpa sebarang transaksi melebihi tujuh tahun.

Justeru, TH dalam satu kenyataan menyebut, pihaknya akan memindahkan akaun berkenaan ke kumpulan Akaun Tidak Aktif, bermula 3 Jun 2017 lalu yang akan menyebabkan akaun berkenaan tidak layak menerima hibah daripada TH.

Sehubungan itu, pendeposit digesa memastikan akaun mereka sentiasa aktif dengan melakukan transaksi seperti pemindahan keluar masuk simpanan.