Malaysia Dateline

Penderaan kanak-kanak: Kerajaan dan masyarakat mesti bertindak, kata AMANAH Melaka

Parti AMANAH Negeri Melaka menyeru pihak kerajaan serta masyarakat mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung kejadian mendera kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Mohd Sofi Abdul Wahab

Kejadian menyayat hati ini bukan kali pertama berlaku, sehingga ini ia terus berlaku.

Malah dalam kes terbaru ini ayah kanak-kanak malang ini pernah dipanggil oleh pihak berkuasa tetapi dilepaskan begitu sahaja, kata Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab dalam kenyataan medianya hari ini,

Menurut beliau, persatuan penduduk, JKKK mesti memerhatikan gelagat ibu bapa terutama yang mempunyai anak tiri atau anak angkat.

“Tindakan segera mesti diambil seperti membuat laporan kepada pihak berwajib jika terdapat unsur-unsur yang mencurigakan.

“Persatuan penduduk dan JKKK mesti mendaftarkan dan mempunyai senarai keluarga yang memelihara anak tiri atau anak angkat. Ini memudahkan mereka memantau perkembangan keluarga tersebut.

“Jiran mesti mengambil tahu dan prihatin jika terdengar apa-apa yang mencurigakan atau ternampak kesan-kesan kecederaan pada kanak-kanak,” kata beliau.

Tambahnya lagi, jiran-jiran yang mengetahui terdapat pasangan yang mempunyai anak tiri atau angkat mesti sentiasa prihatin dan peduli dengan situasi yang berlaku pada jiran mereka seperti selalu kedengaran memarahi anak dan sebagainya.

Dalam keadaan sekarang perumpamaan jangan jaga tepi kain orang sudah tidak lagi sesuai, katanya.

“Guru-guru sekolah, ustaz atau ustazah yang mengajar murid-murid juga mesti sensitif dan prihatin dengan perubahan murid-murid seperti murung, lemah apatah lagi jika terdapat kesan-kesan seperti lebam dan sebagainya.

“Pasangan-pasangan yang bercerai yang mana ibu atau ayahnya diberi hak untuk menjaganya mesti memantau perkembangan anak-anak masing-masing jika ianya dijaga oleh sebelah pihak.

“Jika terdapat perkara-perkara yang pelik mereka mestilah bertindak bagi membendungnya menjadi lebih serius,” kata Ketua AMANAH Bukit Katil itu.

Bagi pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan, beliau mencadangkan supaya mereka mempunyai senarai keluarga yang memelihara anak tiri dan anak angkat bagi memudahkan pemantauan dibuat.

“Senarai ini boleh diperolehi dari JKKK dan Persatuan Penduduk. Satu undang-undang baru mesti dikaji dan digubal bagi membendung perkara dari berlaku.

“Jelas sekali sekarang ini semakin ramai manusia yang tidak lagi siuman dan mengalami masalah mental sehingga sanggup mendera dan membunuh anak sendiri atau kanak-kanak yang lemah.

“Pihak berwajib dan masyarakat mesti prihatin kepada isu ini,” kata beliau.