Malaysia Dateline

Pendidikan anak perlu diberi perhatian, bentuk bakal pemimpin martabatkan rakyat

Pendidikan anak-anak seharusnya diberikan perhatian yang lebih khusus oleh ibu bapa dan masyarakat, kataa Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Johor, Aminolhuda Hassan.

Beliau berkata, pelajar perlu menjadi bakal pemimpin yang boleh memartabatkan rakyat di masa depan.

“Saya ingin berpesan belajar biar sehingga menjadi cerdik dan kita mahu membentuk bakal pemimpin yang akan memartabatkan rakyat.

“Kalau jadi pemimpin yang makan duit rakyat itu bukan suatu yang baik. Kita mahu anak-anak yang menjadi pemimpin yang baik dan tahu soal dosa dan pahala atau baik dan buruk.

“Kerajaan akan sentiasa memfokuskan kepada pendidikan anak-anak di sekolah serta mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan di sekolah,” ujarnya ketika dihubungi meminta pandangan mengenai permulaan sesi persekolahan 2019 di negeri itu.

Dalam pada itu beliau turut memberi respon berkenaan dengan dakwaan bahawa kerajaan tidak memfokus kepada pendidikan di Johor.

Menurut beliau lagi sememangnya kerajaan negeri telah meletakkan matlamat untuk pembangunan infrastruktur pendidikan di Johor dalam Belanjawan 2019.

“Kerajaan telah meletakkan matlamat pendidikan di Johor untuk menjadi lebih baik.

“Selain itu pembelajaran serta pendidikan Islam sememangnya telah pun ada dalam perangkaan kerajaan sebelum ini seperti pengiktirafan sijil Darjah Khas untuk sekolah Agama akan dinaik taraf untuk diterima di mana-mana IPTA.

“Pendidikan yang kita mahu terapkan adalah berkonsepkan ilmu perlu seiring dengan akhlak,” ujar beliau.

Sesi persekolahan di Johor bermula pada Ahad lepas.