Pendidikan politik bukan lagi satu pilihan

Pendidikan politik bukan lagi satu pilihan

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendapat Pendidikan Politik sebagai subjek Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) bukan lagi satu pilihan, malah kewajipan yang harus dilaksanakan selepas Dewan Rakyat bersetuju meluluskan kelayakan umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun.

Naib Ketuanya, Mohd Shazni Munir Ithnin, berkata hal ini penting supaya para pelajar terdedah dengan politik di awal alam persekolahan lagi.

Katanya, pendidikan politik juga boleh dirangka berdasarkan pembelajaran atas talian yang lebih dekat dengan golongan remaja yang sudah terdedah dengan teknologi dan media sosial.

“Ketika ini, Pemuda AMANAH telah mengaktifkan rangkaian di kesemua kampus untuk bersama-sama kepimpinan mahasiswa menggerakkan aktivisme melalui program-program pendidikan, kebajikan serta gerak kerja kesukarelawanan.

“Tidak hanya terhenti di universiti, para aktivis kampus dan alumni juga telah mengambil langkah proaktif dengan melebarkan program hingga ke sekolah-sekolah, bertujuan mendedahkan mereka dengan elemen asas kenegaraan dan politik.

“Pendidikan ini juga mungkin boleh dirangka berdasarkan pembelajaran atas talian (online learning) yang interaktif dan menarik memandangkan hari ini, golongan remaja lebih dekat dengan teknologi maya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Usia 18 wakil rakyat

Sementara itu, Shazni berkata kelayakan golongan muda berusia 18 tahun untuk menjadi wakil rakyat bergantung pada pihak kerajaan sama ada bersedia memberi pendedahan kepimpinan kepada pelajar atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Mereka boleh jadi wakil rakyat sekiranya pembinaan kepimpinan politik melalui kurikulum pendidikan politik di sekolah-sekolah telah sepenuhnya dilaksanakan.

“Program ko-kurikulum seperti Debat Ala Parlimen yang telah dibudayakan seawal sekolah rendah juga akan mempersiapkan mereka untuk menjadi seorang pemimpin.

“Tapi (masih belum layak menjadi calon wakil rakyat) jika tiadanya sebarang usaha segera dan sekadar melepaskan batuk di tangga untuk menyediakan lapis kepimpinan masa depan yang berkualiti setelah reformasi umur pengundian 18 tahun ini dikuatkuasakan,” ujarnya.

Baca: Pendidikan politik teras kenegaraan

Baca:: Politik Malaysia akan berubah

Baca: Armada sedia perancangan belia