Pendidikan satu aliran lebih baik banding tambah  10  SJKC

Pendidikan satu aliran lebih baik banding tambah 10 SJKC

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) membantah keputusan kerajaan menambah 10 lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) baharu yang jelas bercanggah dengan dasar pendidikan kebangsaan di bawah Akta Pendidikan 1996.

Timbalan Presidennya Datuk Sirajuddin Salleh mempersoalkan terdapat pemimpin- pemimpin negara yang sanggup menggadaikan masa depan negara sehingga tidak nampak bahawa pendidikan satu aliran adalah pentas terbaik untuk mencanai generasi baru yang bersatu padu demi kestabilan negara.

“Meluluskan membina 10 lagi sekolah Cina juga merupakan kesinambungan pencabulan terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan dan penghalang kepada aspirasi Nasional.

“Perkasa melihat ia sebagai satu tamparan hebat bangsa Melayu. Ia juga satu keputusan yang membelakangkan hasrat rakyat untuk melihat dan merealisasikan wawasan sekolah satu aliran di Malaysia.

“Lebih dahsyat lagi, keputusn itu sekali gus meruntuhkan ‘foundation ‘ perpaduan dan kestabilan Nasional,” ujarnya.

Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan meluluskan 10 lagi sekolah Cina sebagaimana diumumkan oleh Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid pada Khamis.

Sekolah Cina yang dibina ini membabitkan lima buah sekolah baharu di Selangor, manakala lima lagi di Johor.

Sirajuddin yang juga Pengerusi Biro Pendidikan turut berkata, dengan bertambahnya sekolah Cina ia akan melebarkan lagi jurang perpaduan antara kaum di Malaysia dakwnaya, yang sedia meruncing.

“Jurang yang paling ketara ia lah aspek pendidikan, Melayu dengan sekolah kebangsaan, Cina dengan sekolah Cina dan begitu juga kaum India dengan sekolah Tamil.

“Sia-sia sajalah pemimpin kita melaungkan 1MALAYSIA. Cakap tidak dikotakan.

“Pada masa ini, sebanyak lebih dari seribu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) beroperasi di seluruh negara dan ini merupakan satu jumlah yang sangat besar lantas menggambarkan bahawa orang Cina tidak akan menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal di sekolah kebangsaan, sangat bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

“Dengan, ini Perkasa menganggap Dong Zong dan mereka yang menyokong keberadaan sekolah -sekolah Cina sebagai pengkhianat Negara,” jelasnya yang dengan jumlah sekolah Cina yang begini banyak juga kerajaan terpaksa memperuntukkan satu belanja yang besar untuk membantu sekolah ini beroperasi.

Tambah beliau lagi, peruntukan kewangan ini sepatutnya digunakan untuk membangunkan sekolah kebangsaan yang masih lagi serba kekurangan baik dari segi fizikal dan material terutama di kampung dan di kawasan luar bandar.

Justeru beliau menekankan Kerajaan wajib memikirkan dan melaksanakan sekolah satu aliran daripada sekolah rendah hingga ke sekolah menengah dengan segera demi mencapai perpaduan Nasional selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan.

 

CATEGORIES
TAGS