Pendidikan secara peperiksaan dan kokurikulum perlu diadakan, saran PIBG

Pendidikan secara peperiksaan dan kokurikulum perlu diadakan, saran PIBG

Pendidikan secara peperiksaan dan kokurikulum perlu diadakan untuk melihat keberkesanan pendidikan politik dan pilihan raya, terutamanya melibatkan pelajar di peringkat sekolah menengah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, Mohd Zahri Abdul Rahim berkata, dari segi peperiksaan, ia akan menjadi penanda aras terhadap pengetahuan serta pemahaman seseorang pelajar yang mempelajari pendidikan tersebut.

Mohd Zahri Abdul Rahim

Dari segi kokurikulum pula katanya, ia adalah latihan amali dan aktiviti yang boleh memberikan pengalaman sebenar kepada pelajar-pelajar seperti cara-cara mengurus dan melaksanakan proses pilihan raya (pemilihan calon).

“Namun, sebelum pendidikan tersebut dilaksanakan di sekolah menengah sama ada melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menyedia dan menyelaraskan silibus serta garis panduan pendidikan politik itu sendiri.

“Pendidikan tersebut perlu disampaikan kepada pelajar-pelajar secara adil dan telus tanpa memihak kepada mana-mana parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Nilai-nilai penting seperti amanah dan jujur perlu diterapkan dalam pendidikan politik dan pilihan raya yang akan disediakan kepada pelajar-pelajar.

“Guru dan ibu bapa hanya boleh berkongsi pendapat mereka dan pada masa sama, meraikan perbezaan pandangan pelajar serta anak-anak mereka,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Baca: Guru dan ibubapa bentuk pemikiran pelajar

Dalam pada itu, Mohd Zahri menambah, peranan guru dan ibu bapa adalah penting dalam membentuk siasah pelajar bagi memahami kepentingan undi dalam pilihan raya.

“Ini kerana setiap undi daripada mereka (pelajar) merupakan penentu kesejahteraan negara demi masa depan mereka sendiri.

“Selain itu, sistem pendidikan kebangsaan hari ini perlu dirangka semula dengan memberi lebih penekanan terhadap pendidikan pembentukkan siasah pelajar terutamanya dalam mata pelajaran agama, sivik dan moral.

“Dengan adanya semua itu, lebih ramai personaliti seorang pemimpin muda yang berintegriti dapat dilahirkan pada masa hadapan,” ujarnya lagi.