Malaysia Dateline

Pendidikan seksual: Pakar kanak-kanak saran guru jaga lisan, sensitiviti anak didik

Pakar psikologi kanak-kanak, Dr Mariani Md Nor berpendapat warga pendidik terutama guru-guru di sekolah perlu menggunakan pendekatan lisan yang terbaik dan berhemah ketika mengajar ilmu seksualiti kepada murid-murid.

Beliau berkata, guru perlu dilatih untuk menyampaikan subjek berkenaan dengan baik dan mencadangkan agar pendedahan mengenai gangguan seksual kepada pelajar sebaiknya dikaitkan dengan peraturan dalam agama.

“Pendidikan reproduktif ini perlu diajar dengan betul dan diberi latihan sesuai kepada guru.

“Ketika mengajar pendidikan seksualiti, kita kaitkan dengan agama. Dalam mana-mana agama, hubungan seksual dibenarkan sekiranya mereka ada hubungan yang sah menurut agama iaitu perlu bernikah.

“Guru-guru sepatutnya mengajar dengan penggunaan lisan yang baik. Mengajar dengan maruah dan jati diri yang tinggi serta menjaga sensitiviti anak didik sama ada dia lelaki atau pelajar itu seorang perempuan,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook Sumberkini hari ini.

Dr Mariani menegaskan, dalam aspek mengajar dan mengeluarkan gurauan yang tidak sepatutnya, ia perlu dipandang dengan lebih berhati-hati

Menurutnya, gurauan yang menyentuh maruah pelajar adalah melampaui batas dan seharusnya pihak pentadbiran sekolah mengambil tindakan sekiranya wujud apa-apa aduan mengenai hal itu.

Beliau turut berpendapat bahawa Rang Undang-Undang Gangguan Seksual perlu dikuatkuasakan dan ianya perlu memfokuskan kepada beberapa pecahan gangguan termasuklah aspek lisan yang boleh dianggap cemuhan kepada wanita.

“Apabila guru mengajar dan pengajarannya tak sesuai dengan apa yang pelajar akil baligh terima, kadang-kadang cara itu akan merangsang pelajar buat perkara tidak baik.

“Kalau gurauan kena tempat, tak ada masalah. Tapi gurauan melibatkan maruah pelajar, itu terlalu melampaui batas dan pihak pentadbiran sekolah perlu ambil maklum.

“(Tentukan) apa klausa yang patut dikenakan atau dinasihatkan pada guru. Jangan bagi hukuman pada pelajar yang mengadu,” kata Dr Mariani lagi.