Pendidikan Sivik bentuk masyarakat, individu bertanggungjawab, kata Mahathir

Pendidikan Sivik bentuk masyarakat, individu bertanggungjawab, kata Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Pendidikan Sivik yang mula dilaksanakan di sekolah sejak Jun lepas akan membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain.

Dalam hidup bermasyarakat, katanya sifat-sifat itu amat penting bagi memastikan setiap individu tidak melakukan sesuatu yang memburukkan keadaan di sekeliling mereka.

“Saya percaya bukan sahaja anak-anak kita akan menjadi orang yang¬†civic minded, tetapi guru-guru semasa mereka mendidik, tentulah akan sematkan nilai-nilai sivik yang sama.

“Dengan itu, percayalah negara kita akan menjadi negara yang maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia,” katanya semasa melancarkan Pendidikan Sivik peringkat kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Pendidikan Sivik dilaksanakan selama satu jam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah selain turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kokurikulum.– BERNAMA