Pendidikan Vernakular antara keperluan akta dan desakan penutupan

Terdapat pihak tertentu yang membangkitkan soal kewajaran pelaksanaan pendidikan vernakular dan menyarankan sekolah-sekolah vernakular (terutamanya Sekolah Rendah Jenis kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil) ditutup atas alasan kewujudannya dianggap telah menjadi ancaman kepada perpaduan negara. Suara-suara yang menyarankan agar sekolah-sekolah vernakular ini ditutup agak lantang kedengaran sewaktu diadakan Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 lalu.

Berdasarkan kepada latar kewujudan sekolah-sekolah vernakular, secara tidak langsung memperlihatkan sebagai dinamika tolak ansur dalam membentuk ekologi sosial, bagi membolehkan setiap etnik dan kaum mempunyai ikatan terhadap asas tradisi warisan masing-masing, realiti ini hakikatnya juga adalah selaras dengan nilai kemanusiaan dan tradisi pensejarahan.

Ini bermakna setiap etnik atau kaum, dalam konteks Malaysia terbentuk daripada jaluran bangsa yang berbeza, penerimaan hakikat ini merupakan satu pengiktirafan terhadap dinamika pembentukan masyarakat Malaysia dan merupakan satu keunikan sosial. Bagaimana pun ini bukan satu panghalang ke arah membentuk akal budi sosio budaya Malaysia.

Realiti ini adalah selaras dengan semangat yang dihasratkan dalam pemetaan Akta Pendidikan 1996, dinyatakan, “…pendidikan yang diberikan adalah pelbagai dan komprehesif skopnya dan yang akan memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip-prinsip Rukunegara.”

Hasrat ini juga dinyatakan secara konkrit dalam Akta Pendidikan 1961, “Manakala dasar pendidikan persekutuan, asalnya diisytiharkan dalam Ordinan Pendidikan, 1957, adalah untuk mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat memberikan kepuasan terhadap keperluan bangsa dan menganjurkan perkembangan budaya, social, ekonomi dan pembangunan politik.”

Hakikatnya sekolah-sekolah vernakular ini merupakan sekolah yang diwujudkan selaras dengan Akta pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Ini bermakna sekolah-sekolah vernakular ini merupakan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Kedua-dua Akta ini memberikan asas kepada pelaksanaan sekolah vernakular pada peringkat rendah sebagaimana deskripsi dalam Bab 3 Akta Pendidikan 1996 dan Bab 2 dalam Akta Pendidikan 1961. Bermakna kedua-dua Akta ini memperakui akan kewujudan sekolah-sekolah vernakular ini pada peringkat rendah sahaja.

Apa yang nyata tidak terdapat apa-apa peruntukkan untuk penubuhan sekolah vernakular pada peringkat pendidikan menengah, keadaan ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan kebangsaan pada peringkat menengah adalah terurus dalam konteks pendidikan satu aliran. Pendidikan selama lima tahun pada peringkat menengah berlangsung dengan berpengantarkan bahasa Melayu, sebagai medium utama pengajaran. Sebagaimana dinyatakan dalam Bahagian 1, Akta Pendidikan 1961 dan Bahagian 1, Permulaan, Akta Pendidikan 1996.

Ini bermkna, persoalan berhubung dengan isu pendidikan satu aliran, bukanlah merupakan satu isu yang bersifat kronik dalam konteks sistem pendidikan kebangsaan, memandangkan telah pun wujud senario berkaitan dalam konteks pendidikan menengah. Pendidikan menengah jelas tidak memberikan ruang kepada penubuhan sekolah-sekolah vernakular yang diurus dan ditadbir di bawah sistem pendidikan kebangsaan.

Berdasarkan kedudukan dalam Akta Pendidikan 1996, kewujudan sekolah-sekolah vernakular ini adalah lebih kukuh berbanding dengan Akta Pendidikan 1961. Kewujudan sekolah-sekolah vernakular di bawah Akta Pendidikan 1996 mendapat pengabsahan mutlak, kuasa menteri untuk menutup sekolah-sekolah vernakular dan menukarkan kepada sekolah kebangsaan ini telah dihapuskan, sebagaimana asalnya tercatat dalam perkara 21(2) Akta Pendidikan 1961.

Dalam perkara 21(2) Akta Pendidikan 1961 mencatatkan “Yang mana pada bila-bila masa Menteri berpuashati bahawa sekolah jenis kebangsaan adalah bersesuaian untuk ditukar kepada sekolah rendah kebangsaan maka dengan perintah arahannya sekolah tersebut bertukar menjadi sekolah kebangsaan.”

Hakikatnya, tindakan untuk menutup sekolah-sekolah vernakular ini, agak lebih mudah dilakukan sepanjang berkuat kuasanya Akta Pendidikan 1961, terdapat peruntukan yang jelas berkaitan dengan kuasa Menteri untuk menutup sekolah-sekolah vernakular berdasarkan Perkara 21(2) ini.

Namun tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa Menteri Pelajaran pada waktu berkuat kuasanya Akta Pendidikan 1961 di antara tahun 1970 hingga 1996, mengambil inisiatf untuk menutup sekolah-sekolah vernakular ini. Ini bermakna wujudnya suara-suara yang menganjurkan supaya sekolah-sekolah vernakular ini ditutup, merupakan golongan yang bergerak atas landasan pemikiran hipokrit perkauman.

Apa yang nyata frasa ini telah dimansuhkan dalam Akta Pendidikan 1996. Ini bermakna Akta Pendidikan 1996, telah mengiktiraf secara kukuh dan mantap akan kewujudan sekolah vernakular ini, maka isu penukaran sekolah vernakular kepada sekolah kebangsaan hakikatnya tidak berbangkit sama sekali.

Maka suara-suara yang menyarankan agar sekolah vernakular ini ditutup dan ditukar kepada sekolah kebangsaan, amat janggal sekali dan berlawanan dengan semangat Akta Pendidikan 1996.

Berdasarkan semangat Akta Pendidikan 1996, sekolah ini telah mendapat jaminan untuk terus wujud dan kekal sebagai sebahagian sistem pendidikan kebangsaan. Perkara 146 (b) menjelaskan bahawa sekolah rendah jenis kebangsaan hendaklah dikenali sebagai sekolah jenis kebangsaan.

Berdasarkan Perkara 28 Akta Pendidikan 1996, frasa “…hendaklah menyenggara sekolah-sekolah itu.” Menyenggara bermakna memastikan sesuatu berada dalam keadaan baik. Bermakna dalam konteks pendidikan, Menteri mesti memastikan pelaksanaan dan perjalanan sekolah-sekolah vernakular ini sentasa berada dalam keadaan yang baik, khususnya berhubung dengan aspek pelaksanaan pengurusan pengajaran dan pembelajaran.

Tanggungjawab Menteri adalah memastikan sekolah vernakular ini diurus dan ditadbir dengan baik, maka tentunya perlu dibekalkan dengan sumber-sumber utama pengurusan organisasi, iaitu sumber manusia, sumber fizikal dan sumber kewangan. Ini bererti sekolah vernakular ini wujud dengan perakuan berkanun yang sahih dan tidak ada ruang perundangan yang membolehkan usaha penutupan dilakukan terhadapnya.

Bagi pihak yang mendesak agar sekolah vernakular ini ditutup, hakikatnya lebih terserlah akan pemikiran rendah diri serta berfikir dalam ruang persaingan kalah menang. Disamping mendambakan sifat penakluk total tanpa adanya inisiatif untuk membina sistem atas dasar kepentingan bersama dalam ruang lingkup realiti perbezaan keperluan.

Pluralisme bangsa atau etnik, bukan merupakan satu ancaman dalam konteks perpaduan dan peneguhan jati diri, disebabkan negara umumnya dibentuk berasaskan dokumen kontrak sosial yang jelas dan telah menjadi subjek penerimaan umum dalam kalangan kesemua bangsa dan etnik. Persoalan utama yang menjadi jejasan kepada perpaduan bangsa adalah pelanggaran secara mutlak terhadap fasal-fasal yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara.

Apa yang perlu diberikan perhatian dalam konteks untuk meletakkan sekolah-sekolah vernakular ini, selari dengan aspirasi yang dihasratkan untuk membina jati negara adalah dengan menjadikan pengajaran bahasa Melayu dalam bentuk kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, yakni menjadikan status pengajaran bahasa Melayu menyamai status yang dilaksanakan di sekolah-sekolah kebangsaan. Keadaan ini secara tidak langsung akan menjadikan falsafah disebalik pengajaran bahasa Melayu itu akan lebih berfokus ke arah membentuk nilai kebersamaan dalam konteks penzahiran aspirasi nasional.

Usaha ke arah perpaduan nasional dan mengurangkan darjah polarisasi kaum perlu dianalisis dalam konteks pelbagai dimensi tindakan dan tingkah laku politik dan pemikiran sosial, juga berkait dengan realiti jurang ekonomi. Soal yang barkait dengan kewujudan sekolah satu aliran pada peringkat rendah sebagai alternatif kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional, secara khusus tidak begitu signifikan, terdapat beberapa unsur yang bersifat mikro dan makro perlu diberikan tumpuan serius.

Hal ini berkait rapat dengan pelaksanaan dasar, sokongan perundangan dan juga tindakan mobilisasi minda, perspektif serta persepsi masyarakat untuk menerima akan hakikat realiti perbezaan budaya antara kaum, pada masa yang sama memberikan fokus kepada keperluan menerima unsur pemersatu, dalam konteks penerimaan prinsip untuk hidup bersama dalam satu lingkungan sosial geografi, berteraskan Perlembagaan negara.

*Kolumnis adalah Pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universtiti Pendidikan Sultan Idris