Malaysia Dateline

Pendirian Ismail perlu tegas dan konsisten, mesej ‘flip flop’ boleh jejas ekonomi negara

Pendirian Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu lebih tegas dan konsisten sebagai seorang Perdana Menteri dan bertanggungjawab dalam sebarang kenyataannya bukan bersifat ‘flip flop’.

Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, kenyataan dan mesej yang “flip-flop” Ismail hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang berlanjutan dan akan memudaratkan lagi keadaan ekonomi negara.

Dalam satu wawancara dengan media Jepun, Nikkei yang disiarkan pada hari Isnin yang lalu, beliau dengan jelas menyatakan bahawa pilihanraya tidak akan diadakan dalam masa terdekat kerana masalah inflasi sedang melanda dan isu kos sara hidup rakyat perlu ditangani.

Pendirian Ismail perlu tegas dan konsistan, mesej "flip-flop" boleh jejas ekonomi negara
Loke Siew Fook

Namun, dalam masa 48 jam sahaja, beliau telah menukar nada semasa berucap di Konvensyen Barisan Nasional semalam dengan mengatakan bahawa beliau tidak akan menunggu satu saat lebih untuk membubarkan Parlimen sekiranya BN sudah bersedia selepas diasak dan ditekan oleh kluster kleptokrat untuk membubarkan Parlimen.

Bagi Loke Siew Fook keputusan untuk menasihati Yang Di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara Perdana Menteri.

Tambahnya, keputusan yang begitu penting ini tidak seharusnya dipengaruhi oleh pihak yang tidak berkaitan yang hanya mementingkan survival politik mereka.

“Perdana Menteri perlu memberi mesej politik yang lebih jelas kepada rakyat dan dunia luar.

“Sekiranya beliau benar-benar ingin menangani isu inflasi daripada memanggil pilihanraya dalam tempoh terdekat, maka beliau sebagai Perdana Menteri perlu mencari konsensus merentasi parti supaya seluruh fokus nasional menjurus kepada agenda membantu rakyat,” katanya.

Loke menegaskan DAP tidak pernah bimbang untuk menghadapi pilihanraya sekiranya Parlimen dibubarkan, DAP bersedia bersama rakan-rakan PH untuk masuk gelanggang dan berkempen sekuat mungkin.

“Pokoknya, Perdana Menteri perlu konsisten dan tegas dalam pendiriannya,” katanya lagi.