Pendirian Malaysia terhadap penindasan etnik dan agama masyarakat Uighur?

Pendirian Malaysia terhadap penindasan etnik dan agama masyarakat Uighur?

ULASAN: Nasib malang dan penderitaan masyarakat Muslim Uighur di Xinxiang di bawah pemerintahan regim China adalah sebuah rahsia terbuka yang telah ramai ketahui.

Namun begitu, pengaruh ekonomi dan ketenteraan China yang kian pesat berkembang telah membuatkan dunia memilih untuk memejamkan mata dan menganggap tragedi ini tidak pernah wujud.

Sepertimana isu di Palestin yang telah kian lama berlarutan, di mana gabungan kuasa tentera kerajaan Israel dan Amerika telah membuktikan bahawa ‘kuasa adalah kebenaran’.

Malahan, negara yang dikatakan Islamik seperti Arab Saudi dan Mesir juga sudah tidak mengambil kisah akan kesengsaraan yang dialami jiran mereka itu.

Begitulah analogi bagaimana tindakan kerajaan Malaysia yang terdahulu di bawah pentadbiran Najib Razak ke atas penderitaan kaum Uighur yang ditindas regim komunis China.

Pengaruh ekonomi China yang terlalu kuat, peluang pinjaman kewangan yang lumayan serta peluang pelaburan telah mengaburi mata kerajaan yang terdahulu. Hampir setiap kontrak berkeuntungan besar telah diserahkan kepada China, sehingga tangisan kaum minoriti Muslim Uighur yang telah lama menderita itu telah ditenggelami oleh nilai wang daripada China.

Kami berharap dan kami percaya bahawa kerajaan Malaysia yang baharu kini akan lebih prihatin serta peka terhadap etnik Uighur. Malahan Tun Mahathir sendiri telah dikenali sebagai seorang tokoh yang lantang dan menjuarai suara saudara Muslim yang telah ditindas dan dipinggirkan di peringkat antarabangsa.

Muslim-muslim Uighur di China telah lama didiskriminasikan sehingga pelbagai sekatan tlah dikenakan ke atas mereka yang mengamalkan ajaran Islam seperti berpuasa, solat, sunat menyimpan janggut dan menghadiri kelas agama bagi kanak-kanak.
Terdapat juga kes di mana beberapa bekas pelajar Uighur di Malaysia telah ‘hilang’ ketika dalam perjalanan untuk pulang ke China.

Malahan terdapat berbagai-bagai lagi perkara yang menjadi bukti penindasan dan penyeksaan di dalam cengkaman kerajaan China.

Pada 25 Julai ini, 11 orang etnik Uighur telah ditahan di Malaysia kerana kemasukan secara haram dan akan dihadapkan ke mahkamah Malaysia dan bakal kemungkinan akan diekstradisi kembali ke China, di mana mereka akan berdepan dengan dakwaan tertentu, malah mungkin akan dijatuhkan hukuman mati. Kami mempunyai sebab-sebab yang kukuh untuk berpendapat sedemikian.

Jika Malaysia mampu menyekat penghantaran semula Dr. Zakir Naik ke India, sebuah negara demokrasi, kerana risau akan pendakwaan ke atas beliau, penghantaran semula 11 orang etnik Uighur tersebut kepada kerajaan Komunis China adalah ibarat kita sendiri menghukum mereka dengan hukuman yang sebegitu berat!

Malaysia bukan sahaja patut menyekat penghantaran semula rakyat etnik Uighur ke China, bahkan Malaysia juga patut bersuara bagi menegakkan hak saudara minoriti Muslim kita di daerah Xinxiang yang telah ditindas.

Diharapkan sistem peundangan Malaysia serta kerajaan Malaysia akan mempertimbangkan dengan lebih teliti pendakwaan yang bakal dikenakan kepada rakyat etnik Uighur tersebut jika mereka dihantar pulang semula ke China.

Kini telah tiba masa untuk Malaysia menyuarakan pendirian kita yang teguh terhadap isu-isu yang melibatkan penindasan agama dan politik terhadap kumpulan-kumpulan minoriti di seluruh dunia. Kita perlu menaikkan semula martabat negara kita selaku sebuah negara berdaulat yang berkecuali sepertimana kita telah dipandang tinggi dahulu, untuk menentang kuasa-kuasa besar dunia yang telah menyalahgunakan kuasa mereka.

*Penulis adalah Pengerusi Biro Antarabangsa Parti AMANAH Negara.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote