Pendirian PM tidak usir Zakir Naik disokong

Pendirian PM tidak usir Zakir Naik disokong

Pemuda AMANAH Negeri Pulau Pinang senada dan menyokong pendirian Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri supaya mengekalkan pendakwah Dr Zakir Naik di negara ini.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Pemudanya, Muhamad Khairul Mohd Ali (gambar atas).

Jelasnya lagi, Dr Zakir Naik merupakan seorang tokoh pendakwah Islam yang disegani dunia.

Sehubungan itu katanya, beliau mempunyai hujah dalam menyampaikan ilmu dakwah dengan membawa hujah-hujah dan fakta yang baik.

“Islam merupakan agama yang Indah sepertimana dinyatakan dengan jelas dalam al-Quran.

“Dalam Islam tiada paksaan untuk menganut agama Islam.

“Adalah menjadi kewajiban kepada setiap muslim untuk menyampaikan dakwah dan menjelaskan konsep Islam sebenar iaitu tiada paksaan.

Malah katanya, Pemuda AMANAH Pulau Pinang menyeru kepada semua pihak agar berhenti membuat kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan juga agama.

Baru-baru ini Perdana Menteri telah pun membuat pendirian mengenai status Dr Zakir Naik bahawa beliau tidak akan diekstradisi ke India.

Ekoran itu pelbagai pihak turut menyokong dan membantah keputusan Perdana Menteri yang mengekalkan Dr Zakir Naik dalam negara ini.