Malaysia Dateline

Penduduk 4 buah kampung di Demak Laut mahu feri, akses internet

Kampung Beradek, Semilang, Tiang Api dan Beradek Cina hanya dipisahkan sebatang sungai untuk ke kawasan Perindustrian Demak Laut iaitu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut di Kuching.

Dihuni dengan populasi seramai 2,000 orang, rata-ratanya penduduk di empat buah kampung terbabit hanya bekerja di kilang-kilang selain sebagai pekebun dan nelayan.

Untuk sampai ke kampung tersebut, satu-satunya akses ialah menggunakan bot dan perahu tambang yang diusahakan secara persendirian.

Penduduk sedang menunggu bot dan perahu tambang

Bagi penduduk yang memiliki motosikal, kenderaan mereka terpaksa menaiki bot atau perahu tambang dengan bayaran sebanyak RM4 sehala.

Begitulah rutin penduduk kampung setiap hari bagi mencari nafkah masing-masing walaupun sudah bertahun lamanya mengharapkan pemimpin dan kerajaan negeri dapat mencari alternatif menyediakan perkhidmatan feri.

Tambah menyedihkan, penduduk turut menghadapi masalah bagi mendapatkan akses capaian internet walaupun sebenarnya empat kampung terbabit terletak di pinggir bandar.

Bayangkan, andai kampung yang berada di pinggir bandar pun sukar mendapat akses internet, apatah lagi jika kampung-kampung yang terletak jauh di pedalaman negeri ini turut tiada bekalan elektrik dan air ketika hampir 57 tahun mencapai kemerdekaan.

Ketika pelajar lain sedang sibuk mentelaah pembelajaraan melalui atas talian, anak-anak penduduk di sini pula terpaksa berkumpul di jeti bagi mencari capaian internet.

Penulis sendiri merasai pengalaman apabila berkunjung ke kampung terbabit yang mana capaian internet hanya terhad kepada H+ berbanding 3G dan 4G.

Justeru, tidak hairanlah jika beberapa penduduk yang ditemui mengharapkan pemimpin peringkat kampung dan di DUN Demak Laut membuka mata agar dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sangat sedih apabila melihat anak-anak kampung yang terpaksa duduk di jeti demi untuk mendapatkan akses internet bagi mentelaah pembelajaran.

“Untuk sampai ke jeti pula, mereka terpaksa menggunakan motosikal selama 10 hingga ke 15 minit. Kepada yang tiada mempunyai motosikal, mereka menumpang khidmat motosikal dengan kadar RM1 sehala,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau dan keseluruhan penduduk kampung amat mengharapkan agar kerajaan negeri di bawah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) memandang serius masalah berkenaan yang terpaksa dihadapi setiap hari oleh masyarakat di sini.