Penduduk Gunung Bongsu bantah aktiviti pembalakan, jejas keselamatan

Penduduk mengadakan bantahan aman mendesak kerajaan negeri Kedah beri perhatian terhadap masalah pembalakan di Gunung Bongsu, Kulim, Kedah semalam.

Aktiviti pembalakan yang dijalankan di kawasan hutan simpan Gunung Bongsu, Kulim sehingga menyebabkan penduduk kampung sekitar kawasan tersebut menghadapi masalah pencemaran telah menyebabkan mereka berkumpul secara aman untuk menzahirkan rasa tidak puas hati mereka semalam.

Dalam himpunan tersebut penduduk membantah aktiviti pembalakan untuk kuari batu di Mukim Terap, Daerah Kulim kerana ia didakwa menyebabkan banjir kilat yang begitu kerap sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian yang besar.

Kata mereka lagi, bekalan air bersih untuk kegunaan harian yang diterima mereka turut terjejas akibat aktiviti pembalakan tersebut.

Selain itu, mereka juga kesal kerana aktiviti pembalakan tersebut didakwa mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri Kedah.

Antara penduduk yang hadir meluahkan pandangan mereka semasa bertemu Saifuddin semalam.

Sehubungan itu mereka mendesak kerajaan negeri Kedah serta Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan kemelut yang begitu lama berpanjangan.

Adalah difahamkan beberapa aduan telah dibuat oleh penduduk sebelum ini kepada Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Daerah, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Adun Kulim dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Namun begitu, masalah tersebut tidak berjaya ditangani sehinggalah kerajaan baru bertukar tangan pada 9 Mei lalu.

Penduduk juga mengesahkan bahawa hak milik sementara bagi aktiviti pembalakan ini telah dikeluarkan pada tahun 2009.

Walau bagaimanapun pada 2010 Laporan Penilaian Alam Sekeliling (EIA) telah ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar.

Saifuddin ketika menemui penduduk yang membuat bantahan semalam.

Ekoran bantahan tersebut Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah segera turun padang bagi mendengar luahan rasa penduduk terlibat.

Ketika ditemui Saiffuddin berkata perkara ini diberi perhatian serius kerana ia telah berlarutan sekian lama dan dibimbangi mengancam keselamatan penduduk secara berterusan.

“Perkara ini akan dibawa ke pengetahuan YAB Perdana Menteri semasa pertemuan yang akan diadakan bersama beliau dalam minggu ini.

“Malah ia akan dimaklumkan kepada Menteri Besar Kedah melalui Adun Kulim dalam sidang Dewan Undangan Negeri tidak lama lagi supaya perkara ini dapat diatasi dengan secepat mungkin.

“Yang penting masalah keselamatan penduduk yang mampu mengancam nyawa harus diberi keutamaan dengan kadar yang segera,” tegasnya.

CATEGORIES