Penduduk bantah projek Rumah Selangorku

Foto Sinar Online

Seramai kira-kira 40 penduduk di Subang Bestari membantah pembinaan projek Rumah Selangorku yang dilaksanakan di Jalan Nova U5/86A yang didakwa tidak mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.

Pengerusi Badan Bertindak Kelestarian Subang Bestari, Abdul Razak Mohammad berkata, keadaan prasarana di kawasan itu sememangnya tidak sempurna dan Kerajaan Selangor sewajarnya menambahbaik keperluan masyarakat setempat di sini terlebih dahulu sebelum membuat perancangan pembangunan lain.

“Keadaan prasarana seperti masjid, penyelenggaraan kolam takungan dan kekurangan kawasan rekreasi di sini perlu ditambah baik dahulu sebelum sebarang perancangan lain dibuat.

“Malah, sekolah di sini juga tidak mencukupi dan pastinya masalah akan timbul jika projek ini diteruskan,” katanya ketika bantahan aman yang dilakukan di hadapan tapak projek terbabit semalam.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, penduduk di kawasan itu juga membantah projek berkenaan berikutan khuatir pelaksanaannya dibuat tanpa mengikut prosedur sepatutnya.

“Jika dilihat, papan tanda yang diletakkan di tapak terlibat juga tidak menyatakan sebarang maklumat mengenai kelulusan projek dan ini membayangkan wujud unsur jahat bagi menyembunyi perkara itu.

“Malah projek itu tetap diteruskan tanpa prosedur Bantahan Awam (public hearing) dan ini seolah-olah melanggar Akta 172. Jadi elok projek ini dihentikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekreteriat Badan Bertindak Kelestarian Subang Bestari, Amiruddin Muhammad Dunia berkata pertambahan penduduk di kawasan itu dibimbangi akan menyebabkan masalah kesesakan khususnya di Jalan U5/86.

Amiruddin berkata, pihaknya telah memanjangkan isu itu kepada Adun Kota Damansara, Shatiri Mansor dan Kerajaan Selangor namun tiada sebarang makum balas positif diterima berhubung perkara itu.

“Kita terpaksa bantah kerana pertambahan penduduk di sini hanya akan menyebabkan laluan menjadi semakin sesak sedangkan permasalahan itu sepatutnya diselesaikan dahulu.

Menurutnya, terdapat satu lagi projek yang sama sedang dilaksanakan berhampiran yang membimbangkan penduduk kerana dikhuatiri terdapat masalah yang sama.

CATEGORIES