Malaysia Dateline

Penduduk di 463 kawasan terjejas mula dapat bekalan air bersih sepenuhnya

Kesemua 463 kawasan di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Sepang, Putrajaya dan Kuala Langat pulih sepenuhnya dari masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, penduduk telah mula menerima bekalan air bersih mulai awal pagi tadi.

“Semua kawasan terjejas ekoran henti tugas loji rawatan air Sungai Semenyih itu telah menerima bekalan air bersih sepenuhnya pada jam 6 pagi tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Loji rawatan Sungai Semenyih ditutup pada 11.10 pagi kelmarin selepas pencemaran bau dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir.

Antara kawasan yang terjejas bekalan air akibat kejadian ini termasuk Hospital Serdang dan Hospital Universiti Putra Malaysia, serta pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).

Terdahulu, Air Selangor juga telah menggerakkan bantuan bekalan air kecemasan kepada pengguna dan premis kritikal yang terlibat, dengan 94 lori tangki air digerakkan ke kawasan terjejas.