Masalah kerosakan jalan raya di Sabah bukan lagi isu baharu. Acapkali isu ini digunakan orang politik untuk meraih undi semata-mata.
Pada awalnya bersungguh-sungguh meyakinkan penduduk bahawa fasiliti dan jalan raya yang teruk akan dibaiki, namun selepas berpuluh tahun rakyat masih menghadapi masalah yang sama.
Tidak tahulah masalah utama berpunca dari pemimpin di Sabah atau agensi kerajaan itu sendiri iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak amanah dalam menjalankan tanggungjawab.
Terbaharu, penduduk di Sabah menerusi kumpulan Facebook Sabah Viral Bah, sekali lagi membangkitkan isu kerosakan jalan di kawasan mereka yang menurut mereka, jauh berbeza dengan keadaan jalan di Semenanjung Malaysia.
“Di semenanjung jalan sampai lima tingkat dan di kawasan kampung pun ada lampu isyarat.
“Memandu berjam-jam tak jumpa jalan berlubang atau bertampal tetapi keadaan di Sabah berbeza.
“Kalau jalan runtuh (di sini), pihak berkuasa pasang signboard (papan tanda), ‘hati-hati kawasan tanah runtuh’ dan kalau jalan rosak pula pihak berkuasa akan pasang singboard ‘hati-hati jalan tidak rata’.
“Mungkin jalan itu tidak akan dibaiki sehingga tiupan sangkakala terakhir berbunyi,” kata pengendali Facebook itu.
Pada masa sama, pentadbir laman Facebook tersebut turut memuat naik beberapa gambar memaparkan keadaan jalan di negeri tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata sebahagian besar warga maya turut meluahkan rasa kesal yang sama.
Shabdaziz Shahmad mencadangkan agar pihak JKR mempamerkan nama syarikat atau kontraktor yang membuat kerja sambil lewa dalam membaiki keadaan jalan di Sabah.
“Cadangan aku, minta JKR Sabah siarkan kontraktor yang bertanggungjawab menampal atau membaiki jalan di seluruh Sabah supaya dapat diviral kalau kerjanya tiada kualiti. Berani tak buat seperti itu?” soalnya.
Matthew Tony pula meninggalkan komen yang sinis.
“Kami mahu kerajaan baiki jalan yang sudah berpuluh tahun rosak, bukan ganti signboard ada amaran berbahaya,” katanya.