Penduduk Dun Chuping dan NGO desak Shahidan letak jawatan

Oleh MALAYSIADATELINE

Pengerusi BN dan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bersama semua Adun BN yang memboikot pelantikan Menteri Besar (MB) Perlis, Datuk Seri Azlan Man supaya berundur dan melepaskan jawatan mereka.

Desakan itu dibuat oleh penduduk dan badan bukan kerajaan (NGO) sekitar Dun Chuping yang mengadakan himpunan di hadapan Pusat Khidmat Dun Chuping semalam.

Himpunan tersebut yang turut dihadiri oleh wakil ketua-ketua Umno Cawangan Dun Chuping turut membawa bersama mereka kain rentang yang bertulis’ Daulat Tuanku’ bagi menzahirkan sokongan terhadap titah Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuiddin Putra Jamalullail mengenai pelantikan MB Perlis baru-baru ini.

Wakil ketua-ketua Umno Cawangan Dun Chuping, Md Isa Seman berkata, beliau bersama-sama dengan beberapa NGO sekitar Dun Chuping mendesak kesemua sembilan Adun BN serta Shahidan melepaskan jawatan mereka dengan segera.

“Kami kesal serta amat kecewa dengan sikap sebahagian besar Adun BN tersebut yang mempertikaikan pelantikan MB yang baharu oleh Tuanku.

“Mereka telah diberi mandat untuk membela nasib rakyat dan bersama-sama membela nasib kami dalam negeri ini.

“Tindakan mereka telah mencalarkan imej Umno dan BN sehingga sanggup membantah titah Tuanku dalam pelantikan MB yang baru bagi negeri ini, ” jelasnya lagi.

Oleh kerana itu ujarnya, sewajarnya Shahidan dan sembilan Adun BN tersebut melepaskan jawatan mereka dengan segera tanpa lengah.