Penduduk ibukota bakal rasai lebih nikmat demokrasi, kata Menteri Wilayah

Khalid membacakan doa selepas mengimamkan solat Zohor ketika berkunjung buat pertama kali ke DBKL semalam.

Penduduk bandaraya Kuala Lumpur akan merasai lebih nikmat demokrasi yang selama ini dipinggirkan apabila para wakil rakyat yang mereka pilih bakal menyertai proses membuat keputusan dalam mentadbir bandaraya.

Inilah janji Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad kepada mereka selepas pertemuan pertama beliau dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.

“Sebelum kita sampai kepada pilihan raya kerajaan tempatan, perkara pertama yang saya akan buat adalah mempastikan wakil yang dipilih oleh rakyat mendapat tempat dahulu dalam pentadbiran yang ada.

“Mereka akan terlibat dalam proses membuat keputusan di bandaraya dengan menyertai pelbagai jawatankuasa dan jabatan yang ada di DBKL,” kata Khalid dalam sidang media selepas pertemuan dengan pimpinan DBKL itu.

Khalid menjawab persoalan apakah kerajaan Pakatan Harapan akan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih datuk bandar melalui satu pilihan raya.

“Ia bukan menjadi prioriti saya. Apa yang saya nak buat sekarang adalah beri hak kepada wakil rakyat yang terpilih dahulu selepas mereka dipinggirkan selama ini,” kata Khalid.

Menurut Khalid, pilihan raya kerajaan tempatan memang menjadi hasrat banyak pihak untuk mempastikan negara ini lebih demokratik tetapi ia perlu dibuat dengan berhati-hati agar ianya tidak dijadikan modal politik.

“Oleh itu, sebelum pelaksanaan ia perlu diberikan penerangan yang jelas dan semua pihak faham mengenainya.

“Boleh jadi kita jadikan ia sebagai manifesto dalam pilihan raya umum ke 15 nanti, selepas semua pihak memahaminya,” kata Khalid.

Dalam sidang media yang sama Khalid turut berkata, dengan penyertaan wakil yang dipilih rakyat, beliau berharap semua isu yang dihadapi oleh warga ibu kota dapat dibincangkan dengan baik antara wakil mereka dengan DBKL.

Dengan cara ini, katanya, beliau percaya banyak perkara yang dihadapi oleh wargakota dapat diselesaikan.

Kuala Lumpur mempunyai 1.8 juta penduduk pada waktu malam manakala pada siang hari ia didiami oleh kira-kira 3 juta penduduk ekoran kemasukan mereka untuk bekerja di ibukota.

9.3
OVERALL SCORE
: 8.0
2 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS