Penduduk India bantah kunjungan Modi ke Malaysia

Rakyat Malaysia keturunan India membantah kerajaan India pimpinan Modi yang didakwa memberikan layanan tidak baik ke atas orang Tamil.

Kunjungan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia turut disambut dengan bantahan oleh rakyat negara ini yang tidak berpuashati terhadap layanan ke atas umat Islam di sana.

Mereka berkumpul di Dataran Putrajaya bagi membuat bantahan terhadap beliau ekoran dakwaan pembunuhan orang-orang Tamil di Tamilnadu, India.

Menurut Jurucakap yang mengetuai bantahan Bazeer Ahmed Mohamed Ibrahim, memorandum yang dihantar kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, antara lainnya menolak lawatan rasmi Modi ke Malaysia.

Katanya. Malaysia perlu menyatakan pendirian proaktif mengenai salahlaku, kekejaman, budaya tidak bertamadun yang dilakukan Modi terhadap rakyatnya.

Malah perdana menteri Malaysia juga diingatkan agar memberikan teguran bahawa Malaysia tidak akan menjadi sebahagian daripada agenda yang dimanipulasikan Modi di negaranya sendiri.

“Beliau (Modi) tidak pernah mendengar suara muslim yang ditindas di India kerana beliau penganut agama Hindu. Beliau juga tidak layak mengetuai sebuah negara seperti India yang mana rakyatnya impikan hidup berharmoni.

“India yang dibentuk melalui gabungan 32 negeri ketika dijajah British mempunyai kepelbagaian agama, budaya, bahasa selepas kemerdekaan pada 1947.

“RSS dan BJP berhasrat untuk mewujudkan satu negara, satu budaya, satu agama yang pastinya akan menimbulkan ketegangan masyarakat dunia,” katanya.

Pada Januari Mapin dan NGO sama juga membantah serangan ke atas komuniti Islam di Kashmir, India, susulan kes pembunuhan gadis Asifa Bona, menyatakan bantahan mereka dengan penyerahan nota bantahan ke Kedutaan India di Mont Kiara pada 20 April lalu.

Modi berlepas ke Singapura petang ini selepas melakukan kunjungan hormat ke atas perdana menteri Dr Mahathir Mohamed di Putrajaya dalam persinggahan singkat beliau ke Malaysia hari ini.

Pesawat khas yang membawa Modi, Penerbangan AI OO1, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabanga KL (KLIA) pada kira-kira 2 petang.

Sebelum berlepas, Modi menerima kunjungan hormat daripada timbalan perdana menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Anwar Ibrahim di Kompleks Bunga Raya KLIA.

Selepas mengadakan pertemuan selama 30 minit, Modi, Dr Wan Azizah dan Anwar bergambar kenangan dengan staf Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia.

Wan Azizah dan Anwar mengiringi Modi ke upacara perbarisan kawalan kehormatan statik oleh 26 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja diketuai Kapt Abdul Munir Mohani @ Che Umar sebelum pemimpin India itu menaiki pesawat untuk berlepas ke Singapura, lapor Bernama.

 

CATEGORIES
TAGS