Penduduk Kampung Bakar Batu kesal dihalang berhimpun depan Dun Johor

Penduduk Kampung Bakar Batu kesal dihalang berhimpun depan Dun Johor

Penduduk Kampung Bakar Batu Perling yang diarahkan berpindah baru-baru ini dihalang memasuki kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor bagi berhimpun secara aman siang tadi.

Pihak keselamatan juga menutup jalan pintu masuk ke Dun di Nusajaya.

Penduduk kampung yang diketuai Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub serta Adun dari DAP Pengkalan Rinting Cheo Yee How berkumpul sekitar jam 10:30 pagi bagi mengadakan perhimpunan aman di hadapan Dun.

Justeru lokasi tempat berkumpul diubah dari Dun Johor ke Pejabat Menteri Besar kerana pihak himpunan telah mendapat maklumat wakil Menteri Besar Mohammad Khairi A. Malik telah bersedia untuk bertemu dengan penduduk bagi menerima memorandum bantahan mereka.

Wakil penduduk Norman Abdul Hamid meluahkan rasa kecewa setelah hajat mereka dihalang oleh pihak keselamatan serta pihak berkuasa sehingga mereka terpaksa berpindah ke Pejabat Menteri Besar yang sekadar menghantar wakil sahaja.

Selain itu, Norman juga kesal dengan tuduhan wakil menteri besar yang menuduh tindakan penduduk kampung ini seperti tidak mengikut saluran yang betul apabila mempelawa pihak Parti Amanah serta YB dari DAP dalam tindakan menyerahkan memorandum ini.

“Saya merasa kecewa apabila kami dihalang untuk tidak berkumpul di kawasan DUN Johor bagi menunjukkan rintihan kami terhadap ADUN-ADUN yang lain berkenaan masalah yang kami hadapi sehinggalah kami terpaksa berpindah lokasi ke pejabat Menteri Besar.

“Saya juga turut kesal dengan tuduhan wakil Menteri Besar yakni Mohammad Khairi A. Malik yang menuduh kami penduduk kampung ini tidak mengikut saluran yang betul apabila penduduk mempelawa wakil dari Parti Amanah dan YB dari DAP untuk memperjuangkan nasib kami,” ujar Norman.

Sehubungan dengan itu Norman juga turut menjelaskan, penduduk sebenarnya telah mengikut saluran yang betul sejak dari awal lagi dengan pertemuan dan rayuan kepada wakil rakyat terutamanya Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohammad namun rayuan mereka tidak didengari.

Beliau turut menjelaskan, selama ini tiada sebarang tindakan atau permakluman dari pihak kerajaan berkenaan status tanah mereka yang dituntut sejak tahun lima puluhan lagi sehinggalah hari ini hanya janji kosong dan yang terbaru janji dari wakil menteri besar hari ini.

“Kami telah mengikut saluran yang betul sejak dari awal lagi dengan pertemuan dan rayuan terhadap wakil-wakil rakyat terutamanya Datuk Nur Jazlan serta termasuk kepada Menteri Besar namun rayuan kami seperti tidak didengari.

“Selama ini tiada sebarang tindakan dan permakluman pun dari pihak kerajaan berkenaan status tanah kami dan kami bukan tuntut pada hari ini malah ia telah lama dituntut sejak tahun lima puluhan lagi dan ia hanya janji kosong yang kami terima termasuk hari ini dari wakil Menteri Besar,” jelas Norman ketika ditanya mengenai kenyataan wakil Menteri Besar.

Sehubungan itu Salahuddin telah meluahkan rasa bangganya terhadap semangat penduduk kampung yang sanggup turun beramai-ramai mempertahankan kampung yang didiami oleh penduduk Kampung Bakar Batu.

Selain rasa bangga yang dilahirkan, Salahuddin turut merakamkan rasa dukacita apabila hajat penduduk kampung telah dihalang dan sebelum itu diugut untuk mengadakan himpunan dalam menuntut hak mereka.

“Saya merasa bangga dan gembira terhadap semangat penduduk kampung yang sanggup turun beramai-ramai mempertahankan kampung yang didiami mereka.

“Selain itu saya merasa amat berdukacita dengan tindakan pihak keselamatan dan pihak berkuasa polis yang telah menghalang serta sebelum ini penduduk kampung telah diugut dari mengadakan himpunan yang berlangsung hari ini,” ujar Salahuddin Ayub.

Dalam kenyataan yang sama, kepimpinan dari kedua parti (Amanah dan DAP) telah berjanji akan terus menerus memberi tekanan politik terhadap Menteri Besar dan kepada mereka yang terbabit selain tekanan dari segi perundangan kehakiman akan terus dijalankan.

COMMENTS

Wordpress (0)