Malaysia Dateline

Penduduk Kampung Bruit,Sarawak masih gunakan kad pengenalan lama

Segelintir penduduk yang tinggal di Kampung Bruit, Daro,Sarawak dikenal pasti masih lagi menggunakan kad pengenalan lama.

Berikutan itu, penduduk terbabit sukar untuk memohon bantuan daripada mana -mana agensi kerajaan di samping gagal melakukan tuntutan bagi mendapatkan bayaran Bantuan Sara Hidup(BSH).

Fadillah Sabari

Menurut Ketua Pemuda AMANAH Sarawak, Fadillah Sabali, beliau akan mengambil perhatian bagi membantu penduduk berkenaan supaya dapat memperbaharui kad pengenalan baru dalam masa terdekat ini.

Katanya, jarak perjalanan yang menggunakan pengangkutan air dengan menggunakan bot, menyukarkan penduduk kampung untuk berurusan di bandar terdekat iaitu Sibu.

” Jarak perjalanan untuk sampai ke bandar Sibu memakan masa selama 4 jam dengan menggunakan bot.Itu pun jika keadaan cuaca baik dan tidak bergelombang.

“Justeru, kami akan mencari alternatif bagi menyelesaikan masalah penduduk yang belum memperbaharui kad pengenalan lama mereka dalam masa terdekat nanti, ” ujar beliau ketika hadir menyampaikan sumbangan berupa baucer bantuan kepada seramai 16 penerima terdiri daripada warga emas, orang kelainan upaya dan yang kurang berkemampuan di Kampung Bruit hari ini.

Kampung Bruit merupakan sebuah perkampungan nelayan di bawah Dewan Undangan Negeri (Dun) Semop dan dalam kawasan Parlimen Tanjung Manis.

Mengenai sumbangn tersebut, Fadillah berkata, ia adalah salah satu Program Randau Kasih bagi menyantumi penduduk di kawasan Dun Semop.

” Semoga sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima di samping berusaha untuk mendaftarkan mereka bagi mendapatkan bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Perseketuan di bawah Pakatan Harapan (PH),” jelasnya.

Tambah beliau, baucer sumbangan boleh ditebus di kedai runcit terpilih dalam kampung berkenaan.