Penduduk Kampung Desa Permata kini nikmati air bersih

Penduduk Kampung Desa Permata kini nikmati air bersih

Penduduk Kampung Desa Permata, di sini yang sebelum ini mengadu masalah air yang berkarat dan tekanan rendah kini boleh menarik nafas lega apabila permasalahan mereka diselesaikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Terubong Yeoh Soon Hin berkata PBAPP telah menggantikan paip air lama di sekitar kawasan itu dengan kos sebanyak RM200,000.

“Pihak kami menerima aduan daripada penduduk kampung bahawa tekanan air di sini rendah dan air berkarat, maka pihak kami memaklumkan kepada PBAPP dan mereka menjalankan penggantian paip air dengan segera.

“Kerja-kerja penggantian paip ini memanfaatkan sebanyak 38 buah rumah di kampung ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat penduduk kampung itu, di sini hari ini.

Menurutnya, kerja-kerja penggantian paip telah bermula sejak November tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Disember.

— BERNAMA