Penduduk kampung kaya raya selepas bilionair bagi wang tunai RM6,000 seorang

Oleh KIM SYAZIE

Seorang bilionair yang merupakan pengasas syarikat gergasi e-dagang, JD.com berjanji untuk memberikan wang tunai 10,300 yuan (RM6,300) kepada setiap penduduk kampung halamannya yang berumur lebih 60 tahun.

Lapor portal berita VNExpress, hartawan kaya raya dari China iaitu Richard Liu memberikan wang sebesar itu sebagai membalas jasa penduduk kampung yang pernah membantunya melanjutkan pelajaran ke universiti beberapa dekad lalu.

Menurut AFP, setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, Liu, 50, akan memberikan hadiah untuk penduduk di kampung halamannya, Guangming dalam wilayah Jiangsu, timur China.

Billionair yang mempunyai anggaran kekayaan 12 billion yuan (RM7.4 bilion)  itu dilaporkan melawat kampung halamannya tahun lalu dan memberi penduduk tempatan jaket serta makanan.

Tradisi itu mencerminkan rasa terima kasih penduduk kampung yang bersama-sama menderma 500 yuan (RM307)  dan 76 biji telur untuk membantu membiayai pengajian universitinya pada awal tahun 1990-an. 

“Bantuan itu adalah titik permulaan untuk saya melangkah ke arah kejayaan,” kata Liu.

Dilahirkan dalam keluarga miskin, Liu melanjutkan pendidikan tinggi di Universiti Renmin, Beijing.

Wang yang didermakan oleh penduduk kampung itu bagi membiayai pengajiannya, manakala mereka yang tidak dapat menyumbang wang tunai memberinya telur supaya dia mempunyai bekalan makanan.

Baca juga: Jana RM10,000 dengan hanya 1 video, wanita dedah 3 kerja sampingan bergaji lumayan