Malaysia Dateline

Penduduk Msia di sempadan Thai disaran manfaat kejatuhan ringgit eksport produk tempatan

Susulan kejatuhan nilai ringgit berbanding Bhat ketika ini penduduk di sempadan Malaysia-Thailand digesa mengambil kesempatan untuk mengeksport produk tanaman mereka ke negara Gajah Putih itu kerana ia dapat dijual dengan harga yang lebih tinggi.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Senator Mohd Radzi Md Jidin berkata bahan-bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan boleh menjadi produk utama untuk dieksport ke negara berkenaan.

“Sebelum ini kita banyak mengimport bahan-bahan itu dari Thailand kerana harganya lebih murah (sebelum kejatuhan nilai ringgit),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Motivasi Pelajar Sekolah-Sekolah Menengah Daerah Ketereh di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Machang di sini, hari ini.

Program yang disertai lebih 1,200 pelajar itu turut dihadiri Rektor UiTM Cawangan Kelantan Prof Madya Dr Tuan Mohd Rosli Tuan Hassan.

Mengulas mengenai peruntukan RM1.4 bilion yang disalurkan kerajaan Persekutuan kepada Kelantan menerusi lima projek, Mohd Radzi berkata ia menunjukkan negeri ini tidak pernah dianaktirikan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) walaupun ia ditadbir oleh PAS.

Beliau berkata projek-projek berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat sekali gus dapat menjana pelaburan kepada negeri ini.

Khamis lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mempengerusikan mesyuarat kali pertama Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan dilaporkan berkata lima projek yang telah diluluskan itu termasuklah pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 3 sepanjang 150 kilometer bermula dari Gemuroh, Terengganu ke Tumpat.

Manakala yang lain ialah projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, pembinaan jalan raya menghubungkan Pasir Puteh, Machang dan Jeli, jambatan Palekbang di Kota Bharu dan pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road sepanjang 123km.