Penduduk Orang Asli Pasir Salam sabung nyawa menuntut ilmu

Penduduk Orang Asli Pasir Salam  sabung nyawa menuntut ilmu
Keadaan anak Orang Asli setiap hari untuk ke sekolah.

Abdullah Hassan

Wakil penduduk Sungai Tiram, Abdullah Hassan, 60, menyatakan nasib sebilangan penduduk Orang Asli di Pasir Salam terpaksa bersabung nyawa untuk ke sekolah.

Beliau menyatakan perkara tersebut selepas melihat nasib anak-anak Orang Asli Seleta itu menaiki bot yang tidak sesuai dari segi keselamatan.

Mengulas lanjut perkara itu, beliau berharap agar pihak berwajib dapat menilai semula perkhidmatan atau kemudahan yang diberikan kepada anak-anak orang asli tersebut yang menyeberangi Sungai Johor berkenaan.

“Hanya bot biasa sahaja disediakan untuk murid-murid Orang Asli pergi ke sekolah dan ini dilihat sebagai suatu perkara yang kurang selamat.

“Bot kecil ini tidak sesuai untuk kemudahan pengangkutan kepada anak-anak orang asli ini kerana laluan mereka dilihat sukar kerana jarak mereka untuk ke sekolah menyeberangi Sungai Johor terlalu luas,” ujarnya ketika ditemui.

Zainal Samijan

Dalam pada masa yang sama, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Panchor Kota Tinggi, Zainal Samijan, 46, berkata murid-murid Orang Asli ini diberikan kemudahan yang baik di sekolah itu.

Selain itu, pihak sekolah serta PIBG telah menyediakan tempat membersihkan diri bagi murid Orang Asli di sekolah tersebut.

“Sekolah juga menyediakan jaket keselamatan kepada murid-murid Orang Asli ini untuk mereka gunakan ketika menaiki datang dan pulang ke sekolah.

“Selain itu, pihak sekolah juga telah mendapat sumbangan NGO yang membantu dengan menyediakan pakaian lebihan kepada murid-murid Orang Asli ini seperti kasut, baju, kain, seluar, beg dan sebagainya kepada mereka untuk digunakan sekiranya pakaian mereka kotor basah.

“Permasalahan yang dialami oleh murid Orang Asli ini adalah bergantung kepada air sungai, sekiranya surut mereka tidak akan datang ke sekolah kerana bot tidak dapat keluar pada waktu itu jadi perkara itu akan membuatkan mereka tertinggal pelajaran,” jelas Zainal.

Sehubungan dengan itu Abdullah memohon agar pihak kerajaan dan JAKOA mengambil maklum akan perkara ini dan segera mengambil tindakan untuk kesejahteraan semua lapisan masyarakat di negeri ini.

Selain itu pihaknya akan memantau dan mencari sumber lain untuk membantu bagi meringankan pihak sekolah dalam menyediakan kelengkapan asas sekolah bagi murid Orang Asli di situ.

Terdapat seramai 15 murid anak Orang Asli di sekolah tersebut dan setiap tahun sekolah itu akan menerima murid-murid di kalangan Orang Asli.