Penduduk, peniaga bantah DBKL bina pusat sembelih ayam di Selayang

Penduduk, peniaga bantah DBKL bina pusat sembelih ayam di Selayang

Lebih 200 peniaga dan penduduk Selayang berkumpul di hadapan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan untuk menyerahkan memorandum bantahan pembinaan pusat penyembelihan ayam di sekitar Pasar Borong Harian Selayang.

Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk, Mohamed Noor Said berkata projek yang dibangunkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu akan menyebabkan berlaku pencemaran alam sekitar.

“Selain itu, bau busuk dan masalah takungan air akan berlaku kerana kami difahamkan semua gerai penyembelihan ayam sekitar Selayang akan berkumpul di sini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan itu di ibu negara semalam.

Selain itu, penduduk juga berpendapat lokasi itu tidak sesuai dijadikan pusat penyembelihan kerana terletak berhampiran kawasan perumahan sekali gus akan menimbulkan kesesakan lalu lintas.

Seorang penduduk, Datuk Raymond Ho berkata tapak itu sepatutnya dijadikan kawasan letak kenderaan bertingkat bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

“Sepatutnya selesaikan dahulu masalah parkir yang menyebabkan kesesakan kerana hampir setiap hari pengunjung pasar borong akan meletak kenderaan di tepi Jalan Kuching,” katanya.

Wakil penduduk, Abdul Aziz Mohd Alias pula berkata pihaknya difahamkan tapak projek penyembelihan ayam itu masih lagi hak milik PTG meskipun pihak pemaju telah membayar premium kepada DBKL.

“Ketika kami menghantar memorandum kepada pegawai PTG, mereka mengesahkan tanah itu masih lagi belum dipindah milik kepada pemaju kerana bantahan yang kami kemukakan ke atas tanah berkenaan,” katanya.

Abdul Aziz berkata pihak PTG turut berjanji akan menyediakan kertas cadangan kepada DBKL berhubung bantahan projek tersebut.

Media sebelum ini melaporkan DBKL merancang membangunkan pusat penyembelihan di Pasar Harian Selayang yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini berikutan larangan penyembelihan ayam dan itik di pasar oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

TAGS