Penduduk di Pulau Bruit dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, Sarawak mendesak agar pihak bertanggungjawab dapat membekalkan air terawat dengan segera ke kampung-kampung yang terjejas.
Menurut Ketua Parti AMANAH Kawasan Tanjung Manis, Fadillah Sabali, pihak berwajib harus mengambil berat masalah yang dihadapi penduduk yang memerlukan bekalan air terawat bagi keperluan harian mereka.
Katanya, memandangkan projek program grid bekalan air sedang dalam peringkat pelaksanaan, kebanyakan penduduk hanya bersandarkan air hujan semata-mata lebih-lebih menjelang musim panas sekarang ini.
“Saya sendiri merasai dan mengalami sepanjang tiga minggu bermalam di kampung-kampung di sekitar Pulau Bruit ini dan melihat keadaan bekalan air yang disimpan di dalam tangki semakin berkurang, lebih-lebih lagi dengan keadaan kemarau yang sedang melanda.
“Maka, kesusahan yang dihadapi oleh penduduk pastinya berkali-kali ganda berbanding perasaan saya ini.
“Terdapat rumah yang mempunyai banyak tangki namun ahli keluarga di rumah yang sedikit, mungkin kurang terasa tetapi bagi kebanyakan penduduk, simpanan air masing-masing telah sampai di tahap yang kritikal,” ujar beliau.
Fadillah yang juga Setiausaha Parti AMANAH Sarawak menjelaskan, masalah air di Pulau Bruit bukanlah hal baharu yang berlaku kerana ia telah menjadi masalah sejak sekian lama walaupun dengan prasarana air kini telah lengkap disambung ke setiap kampung.
Namun, katanya yang menyedihkan ialah hanya angin lebih kerap keluar berbanding air disebabkan kegagalan saluran paip yang kecil bagi menampung seramai 10,000 jiwa di kawasan terbabit.
“Sebelum ini, saya kerap menyuarakan berkenaan isu air ini sejak beberapa tahun lepas agar ada tindakan yang boleh memberi keselesaan kepada penduduk.
“Tetapi, penyelesaian segera pihak yang bertanggungjawab bukanlah dengan memberi kotak-kotak air minuman, memberi tangki (apabila tiada hujan, tangki tetap akan kosong) atau penghantaran air dengan lori (yang tidak mencukupi),” soal beliau.
Justeru, katanya penyelesaian jangka masa pendek dan segera ini umpama seperti proses pembinaan jalan, yang mana sebelum jalan sebenar siap, laluan alternatif haruslah dibina bagi melancarkan trafik tetap lancar dan berfungsi sentiasa.
“Saya yakin pihak bertanggungjawab mempunyai kebijaksanaan untuk menyelesaikan segera masalah ini agar ia tidak menjadi sebab atau modal untuk menuntut sesuatu yang lebih besar nanti,” tambah Fadillah.