Malaysia Dateline

Penduduk resah rumah teres jadi hostel

Wakil penduduk Taman Scientex Senai hari ini meluahkan keresahan beliau apabila rumah di taman tersebut telah dijadikan hostel oleh pihak penyewa.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Scientex Senai, Norehsan Arif, 31, berkata tindakan itu banyak mengundang gejala yang negatif bagi penduduk yang mendiami kawasan perumahan tersebut.

Salah satu rumah teres yang disewa dan dijadikan hostel pekerja kilang

Beliau turut memohon agar pihak berwajib untuk mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan permasalahan yang mengundang rasa kurang senang penduduk di kawasan tersebut.

“Sebanyak 120 rumah yang didapati telah dijadikan hostel pekerja kilang berdekatan kawasan industri Senai ini. Kami risau dengan keadaan ini kerana sosial kawasan ini semakin parah.

“Turut berlaku permasalahan seperti penzinaan, jenayah, bergaduh, mabuk dan sebagainya sehingga kami penduduk di sini menjadi takut serta bimbang dengan keadaan ini.

“Perkara ini kami lihat tidak baik untuk penduduk kerana kami yang membeli rumah di sini berharap agar kesejahteraan serta gangguan ketenteraman awam tidak berlaku serta berharap rumah yang kami beli ini dapat memberikan kami keselesaan,” tegasnya ketika ditemui.

Menurut beliau lagi, aduan penduduk telah dibuat dan mereka telah pun membawa suara ini kepada pihak berwajib namun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil bagi menyelesaikan perkara ini.

Selain itu, katanya pihak penyewa dilihat tidak memikirkan soal keselamatan penduduk atau jiran dengan membiarkan rumah kediaman mereka disewa sehingga menjadi hostel pekerja.

“Sepatutnya pihak kilang-kilang harus memikirkan untuk menyewa satu kawasan untuk hostel pekerja mereka bukan dengan menyewa sebuah rumah lalu dijadikan hostel.

“Selain itu aduan ini kami telah bawa kepada pihak berwajib termasuk Adun di kawasan Senai ini namun sehingga hari ini tidak ada sebarang tindakan diambil bagi menjaga kesejahteraan penduduk.

“Agen perumahan di sini dilihat tidak bertanggungjawab dan dilihat seperti besar kepala dengan mencabar penduduk kerana masih tidak ada sebarang tindakan diambil di kawasan ini,” tegasnya lagi.

Dalam tinjauan didapati terdapat hostel yang wujud dan dikesan terdapat seramai lebih 20 penghuni yang mendiami sebuah rumah serta sistem keselamatan bagi hostel tersebut dilihat tidak wujud dengan tiada pintu pendua.