Penduduk rumah panjang selamat, kawasan hijau Taman Rimba Kiara pun tidak terjejas

Penduduk rumah panjang selamat, kawasan hijau Taman Rimba Kiara pun tidak terjejas

 

Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini, menjelaskan kawasan hijau Taman Rimba Kiara, tidak akan diganggu susulan pelaksanaan projek pembangunan di situ.

Semalam, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh memberi pandangan bahawa taman rekreasi di Taman Rimba Kiara itu tidak wajar diganggu untuk projek pembangunan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun berkata, pada asalnya projek itu melibatkan 12 ekar tanah, tetapi telah dikurangkan kepada lapan ekar tanpa mengganggu kehijauan di taman rekreasi berdekatan.

“Laluan masuk dan keluar yang sedia ada juga kita akan kekalkan.. apabila pembangunan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dibina di atas tapak 0.88 hektar ini, penduduk rumah panjang akan kekal menghuni di rumah mereka.

“Kita akan mulakan projek pembangunan dengan rumah mampu milik dan fasa pertama terlebih dahulu yang melibatkan subsidi silang.

“Selepas rumah mampu milik itu siap dibina, barulah penduduk rumah panjang akan berpindah ke rumah mampu milik tersebut.

“Kemudian kita akan menumpukan kepada fasa kedua pembangunan. Jadi di sini, tidak ada isu mengapa penduduk diarah keluar dan berpindah ketika pembinaan dijalankan.

“Keputusan ini dicapai berdasarkan persetujuan antara kami dan juga penduduk rumah panjang di sini,” katanya.

Zaizalnizam bersama antara penduduk rumah Panjang.

Beliau berkata demikian pada sidang media YWP hari ini ketika sesi taklimat ‘Pembangunan Berhampiran Taman Rimba Kiara’ yang turut dihadiri Pengurus Kanan Komunikasi Korporat & Pengurus Kanan Wilayah Media Sdn Bhd, Datin Ida Harlina Ikhwan Nasir.

Dalam perkembangan sama, Zaizalnizam berkata, 100 unit rumah mampu milik bernilai RM300,000 itu akan diberikan secara percuma kepada penduduk generasi pertama, manakala untuk generasi kedua dan seterusnya, akan ditawarkan 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Katanya, sebanyak RM155 juta telah dibelanjakan untuk projek ini, termasuk premium kepada pihak pemaju dan kos kepada Pejabat Tanah dan Galian untuk kelulusan ‘Development Order’ (DO).

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, DBKL telah mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar di kawasan berkenaan.

Projek pembangunan itu melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Khalid menegaskan, projek pembangunan itu adalah untuk membina semula penempatan penduduk rumah panjang di kawasan itu, dan beliau tidak mempunyai sebarang konflik kepentingan dalam projek berkenaan.