Penduduk Sarawak boleh tuntut dekoder myFreeview

Penduduk Sarawak boleh  tuntut dekoder myFreeview

Penduduk di seluruh Sarawak yang berkelayakan kini boleh menuntut dan mengambil sendiri dekoder TV Digital myFreeview percuma yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.

Sebanyak empat pusat pengagihan tdibuka di negeri ini bagi memudahkan proses pengedaran dekoder TV Digital myFreeview kepada Golongan B40 yang layak dan telah berdaftar.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan di Kuching hari ini berkata, warga B40 yang layak dan telah berdaftar di Sarawak datang untuk menuntut dekoder percuma myFreeview di pusat pengagihan terdekat sebelum 30 November ini.

“Dekoder percuma ini bertujuan bagi memberi peluang kepada penduduk tempatan menikmati siaran TV Digital myFreeview yang berkualiti tanpa sebarang yuran bulanan.

“Terdapat empat pusat pengagihan telah diwujudkan dan sedang beroperasi untuk mengedarkan dekoder TV Digital myFreeview iaitu di Pusat Khidmat Parlimen P195 Kuching pada 20 hingga 21 November dari jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang, di Sibu di Pusat Khidmat Parlimen P.212 Sibu pada 23 hingga 24 November pada 8.30 pagi sehingga 4.00 petang,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan berkenaan, bagi di Miri mereka yang layak boleh menuntut di Pusat Khidmat Dun N.74 Pujut pada 26 hingga 27 November pada 8.30 pagi hingga 4.00 petang dan di Bintulu, boleh datang ke Pusat Khidmat Dun N.68 Tanjong Batu pada 29 hingga 30 November dari 8.30 pagi hingga 4.00 petang.

“Orang ramai yang hadir dinasihatkan agar membawa bersama kad pengenalan bagi tujuan pengesahan, bagi pengagihan semula dekoder yang gagal dihantar pada kali pertama, caj RM15 akan dikenakan bagi menampung kos penghantaran.

“Bagi orang ramai yang ingin menyemak kelayakan untuk mendapatkan dekoder percuma mereka boleh menyemak melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip MYTV (jarak) DEKODER (jarak) (nombor kad pengenalan anda) dan hantar ke 15888 atau melayari www.mytvbroadcasting.my/B40 atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di 1300-80-6988 atau 1800-18-1088,”ujar kenyataan itu.